Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Kesihatan kini tidak lagi menunggu sesuatu kawasan menjadi zon merah Covid-19 (lebih 40 kes) sebelum menasihati kerajaan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, KKM akan bergantung pada penilaian risiko oleh pakar kesihatan untuk menentukan keperluan mengehadkan pergerakan di lokasi yang mencatatkan penularan Covid-19.

"Hari ini kita telah perkenalkan zon jingga. Bukan nak tunggu merah baru isytiihar PKPB.

"Sekarang ini 21 kes ke atas kita akan jalankan penilaian risiko. Kalau penilaian kata risiko tinggi, kita akan nasihat untuk kenakan PKPB," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham merujuk kepada kod warna yang telah digunakan oleh KKM untuk membezakan tahap wabak berdasarkan kawasan.

Zon hijau digunakan untuk menandakan lokasi yang tidak memiliki kes aktif, sementara kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes ditanda sebagai zon kuning, antara 21 dan 40 kes sebagai zon jingga, dan yang memiliki lebih dari 40 kes dilabel sebagai zon merah.

Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan hanya menggunakan tiga kod warna, iaitu hijau, kuning dan merah.

Noor Hisham mengatakan langkah mengenakan PKPB sebelum kawasan itu menjadi zon merah diambil sebagai tindakan proaktif.

Dia memberi contoh dua mukim di Perak dan Terengganu, yang akan ditempatkan di bawah PKPB selama 14 hari mulai Sabtu ini.

Mukim itu ialah Parit Buntar di Perak, yang mempunyai 12 kes aktif pada hari Selasa, dan mukim Rasau di Terengganu yang mencatatkan 25 kes aktif pada hari Rabu.

"Untuk mukim Rasau di Terengganu, kita melihat ada kluster jangkitan aktif yang mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

"Jadi, kita kenakan PKPB walaupun belum sampai ke tahap zon merah. Sama seperti di Parit Buntar," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS