Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pemimpin Umany dibebaskan dengan jaminan polis

Bekas presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany) Wong Yan Ke dibebaskan sekitar jam 12.20 tengah hari tadi selepas ditahan polis sejak 3 petang semalam.

Bercakap kepada media di hadapan balai polis Mutiara Damansara, peguamnya Rajsurian Pillai mengatakan bahawa dia dibebaskan dengan jaminan polis tetapi telefonnya dirampas oleh polis.

Wong memberitahu media bahawa dia "letih dari segi mental" kerana ditahan lebih 15 jam meskipun sesi soal siasat hanya mengambil masa kurang dari satu jam.

Wong sebelum ini ditahan selepas polis hadir dan mahu memeriksa kediaman seorang lagi pemimpin siswa, Yap Weng Qin di Petaling Jaya.

Yap pada awalnya enggan membenarkan polis masuk tanpa waran geledah.

Wong kemudian merakam siaran langsung Facebook berhubung komunikasinya dengan seorang pegawai polis. Kata Wong, rakaman itu dibuat bagi tujuan keterangan di mahkamah.

Beberapa lelaki berpakaian biasa, dipercayai anggota polis kemudian memintan Wong berhenti merakam selepas siaran langsung Facebook itu berakhir tiba-tiba.

Wong hari ini menegaskan bahawa dia membuat rakaman itu dari tepi dan tidak menghalang pegawai polis, baik secara fizikal atau lisan.

"Individu yang mengaku sebagai polis berteriak kepada kami, ketika itulah saya memutuskan untuk memulakan rakaman langsung FB, kerana saya bimbang nyawa mereka terancam," kata Wong.

Dia menjelaskan bahawa kebimbangannya adalah berdasarkan ancaman dalam talian baru-baru ini yang diterima oleh pemimpin Umany itu setelah menyiarkan kenyataan mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.

Untuk rekod, Wong kemudian ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Wong sebelum ini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya sebelum dipindahkan ke balai polis Mutiara Damansara kerana laporan polis dibuat oleh pegawai polis dari IPD Kajang, menurut peguamnya.

Mengenai ketiadaan waran ketika polis menggeledah rumah Yap semalam, Rajsurian menjelaskan bahawa memandangkan Yap disiasat di bawah Akta Hasutan, polis yang berpangkat ASP dan ke atas diberi kuasa untuk menggeledah rumahnya tanpa waran.

Sementara itu, Rajsurian mengatakan bahawa dia dapat memahami tindakan Wong kerana polis itu berpakaian biasa dan hanya dengan ves hijau yang menurutnya mudah dibeli di tempat lain.

Wakil dari Jaringan Hak Asasi Manusia Nasional (JHAM), Teoh Beng Hock Trust for Democracy, Amnesty International Malaysia dan sayap Pemuda DAP juga hadir untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Wong hari ini.

"Tindakan polis adalah penyalahgunaan kuasa sepenuhnya. Rakaman video mengenai polis yang menjalankan tugas mereka tidak boleh dianggap menghalang tugas," kata Ng Yap Hwa yang mewakili JHAM dan Teoh Beng Hock Trust for Democracy.

Dia juga mempersoalkan tindakan polis menggari Wong.

Dia mengatakan bahawa JHAM akan membuat laporan polis terhadap pegawai polis dari IPD Kajang dan meminta siasatan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa.

"Ini bukan hanya mengenai Wong, tetapi kebebasan asas rakyat Malaysia," tambahnya.

Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat mengulangi bahawa Pemuda DAP akan memberikan sokongan penuh kepada Wong dan surat aduan akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selewat-lewatnya esok.


Lihat Komen
ADS