Versi terkini Seramai 126 penyokong pembangkang, termasuk pemilik tanah di Jalan Kebun yang ditahan sejak 4 November lalu, direman selama lima hari hingga Sabtu depan.

Turut ditahan reman Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Raja, Terengganu, Abdul Aziz Abbas dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Nasional, Sahri Bahri.

Pemilik tanah itu, tempat asal perhimpunan yang dikepung 24 jam sebelum acara yang dijadualkan 2:30 petang semalam, SD Mohd Johari Yasin yang juga Ketua Pemuda Keadilan Shah Alam, Setiausaha Pemuda Nik Ismail Mohd Ros dan Naib Ketua Pemuda Zaidi Yusof bersama tiga lagi ditahan kira-kira jam 5.30 petang.[#1][Polis dikecam halang perhimpunan[/#], 5 Nov]

Dalam beberapa kumpulan, mereka dibawa di hadapan seorang magistret lelaki di balai polis Port Klang petang tadi. Sebelum itu, semua tahanan lelaki dikumpulkan di kawasan garaj di sebelah kanan balai. Sementara empat tahanan wanita bagaimanapun berada di dalam bangunan berkenaan.

Mereka dihimpunkan di situ sejak ditahan semalam sehingga kehadiran hakim kira-kira jam 3:30 petang. Sebelas peguam yang menunggu dari pagi untuk membela tahanan membuat bantahan apabila hanya dua daripada dibenarkan masuk untuk mewakili peserta perhimpunan 'Kembalikan Hak Rakyat.'

Urusan mengeluarkan perintah reman itu selesai kira-kira sejam lalu.

Sebahagian besar mereka ditahan di beberapa tempat di sepanjang Lebuhraya Kesas petang semalam dalam perarakan berkenderaan dan berjalan kaki menuju ke tempat asal perhimpunan di Shah Alam.

Perarakan itu diketuai oleh empat pemimpin utama Barisan Alternatif walau kawasan itu sudah dikawal ketat bermula dari simpang masuk ke Jalan Kebun dari lebuhraya.[#2][Jalan Kebun gagal ditembusi[/#],5 Nov]

Di depan balai tadi, lebih kurang 200 penyokong dan ahli keluarga mereka pula berkumpul di luar balai sejak jam 10 pagi.

Kira-kira 40 anggota polis Pasukan Gerak Am mengawal di luar sekeliling balai berkenaan. Mereka tidak membenarkan penyokong dan ahli keluarga mendekati kawasan berkenaan.

Naib Presiden Parti Keadilan Nasional Zainur Zakaria dan ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Hatta Ramli berada bersama penyokong di luar balai. Hatta bersama lebih 30 orang yang lain mengadakan sembahyang hajat di situ kira-kira jam 3 petang tadi.

Sementara itu, akhbar melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai sebagai berkata polis tidak menolak kemungkinan untuk menyiasat beberapa pemimpin pembangkang yang terlibat dalam program yang berjaya mengumpul sekurang-kurangnya 10,000 penyokong.

Foto oleh Mohd Ali Syed Husin