story image
mk-logo
Berita
‘Sabah perlukan bantuan sekarang bukan tahun depan’
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 4:17 AM
Dikemaskini: 7:35 AM

PARLIMEN l Bekas perdana menteri Najib Razak mengulangi gesaannya agar kerajaan menyegerakan pemberian dana tunai tambahan RM1,000 buat rakyat Sabah, khususnya penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Katanya, negeri itu dijangka bakal menerima pembayaran cukai petroleum sebanyak RM1.25 bilion tahun hadapan, ramai rakyat Sabah memerlukan bantuan segera.

"Sabah perlukan bantuan sekarang bukan tahun depan," kata ahli parlimen Pekan itu pada sesi perbahasannya bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dilaporkan sehingga kini, terdapat 737,797 penerima bantuan BPN dari golongan B40 dan M40 di Sabah.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mencelah turut berpendapat bantuan RM1,000 juga boleh diberikan kepada penerima BPN di Sarawak, Kelantan dan Terengganu kerana negeri-negeri tersebut juga bakal menerima bayaran cukai petroleum dari Petronas.

Sementara itu, Najib turut menyatakan sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 kali ini adalah sokongan bersyarat.

Katanya, dia masih menuntut supaya kerajaan melanjutkan moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

“Saya nak katakan bahawa belanjawan ini dibuat dalam masa luar biasa, kalau nak pinda ia wajar dilakukan kerana keadaan luar biasa dan dalam hal ini pendirian BN seperti mana disuarakan anggota parlimen Bagan Datuk (Ahmad Zahid Hamidi) , kita mahu supaya RM10,000 dapat dikeluarkan dalam Akaun 1 KWSP dan lanjutan moratorium secara pukal dan enam bulan diluluskan.

“Sokongan saya dan rakan-rakan BN tertakluk kepada keputusan dua-dua perkara ini. Maka dengan itu sokongan kami, sokongan bersyarat,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021 Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan bahawa pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 hanya boleh dibuat secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Malah, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga menegaskan pengeluaran dari Akaun 1 KWSP akan disasarkan untuk mereka yang dalam kesulitan sahaja.

Najib berkata langkah pengeluaran secara one-off KWSP diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad, serta boleh digunakan rakyat sebagai penyelesaian tunggakan hutang, selain menjadi modal asas memulakan perniagaan kecil terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafikan pencarum daripada mengakses wang milik mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak. Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan untuk memulih dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat,” katanya.

Najib berkata perkara itu boleh dilakukan menerusi tiga cara, iaitu membantu KWSP meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lumayan kepada KWSP; menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum; serta mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat.

Pada awal perbahasan, suasana hangat seketika apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tempoh 90 minit yang diberikan kepada Najib dan memulakan perbahasan bagi pihak penyokong kerajaan sedangkan Shahidan Kassim (BN-Arau) adalah pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) yang seharusnya memulakan perbahasan rang undang-undang itu untuk blok kerajaan.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan Najib dipilih sebagai pembahas utama blok kerajaan, oleh itu beliau diberikan 90 minit sebagaimana tempoh berbahas bagi Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim semalam.

Meneruskan perbahasan, Najib berkata berdasarkan harapan rakyat, Belanjawan 2021 perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat menjadi lebih mantap dan menyeluruh.

Selain itu, Najib turut mencadangkan kerajaan melaksanakan Rancangan Pandang ke Borneo sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau berkata Sabah dan Sarawak mempunyai sumber kekayaan semula jadi yang amat besar dan lokasi yang strategik kerana berada lebih dekat dengan negara-negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung Malaysia.

“Secara asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya.

"Adalah tidak masuk akal jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur di luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi,” katanya.

Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS