Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin tidak pernah memberi arahan berhubung projek atau kontrak perniagaan sepanjang beliau mengenalinya sejak 11 tahun lalu.

Menurutnya perbicangan telefon antara mereka hanya mengenai politik termasuk bagaimana untuk bertindak balas mengenai sesuatu isu.

Dr Koh berkata beliau telah mengenali Khairy sebelum beliau menjadi pembantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri.

"Kami berbincang bagaimana untuk selaraskan sesuatu isu politik, tetapi beliau tidak pernah menyebut pasal projek dan sebagainya," kata beliau yang menambah bahawa mereka juga sering berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai hal-hal peribadi atau politik.

"Perbualan saya dan Khairy bukanlah menjurus kepada perbincangan berhubung projek atau kontrak perniagaan," kata Dr Koh kepada pemberita selepas melancarkan projek "Spirit of Penang" anjuran akhbar The Star di Pulau Pinang.

"Ia bukan berbentuk memberi arahan atau cadangan berkenaan projek, tetapi perbincangan mengenai aspek politik termasuk bagaimana untuk bertindak balas mengenai sesuatu isu. Saya beri pandangan saya dan beliau mengulas pandangan saya, itu saja," katanya.

Beliau berkata demikian bagi memberi penjelasan kepada tuduhan terhadap Khairy yang didakwa, antaranya, sering menelefon menteri-menteri besar untuk memberi arahan atau campur tangan dalam urusan pentadbiran.

Menurut laporan Bernama, hubungan Dr. Koh dengan Naib Ketua Pemuda Umno itu agak rapat kerana telah mengenalinya sejak 1995 lagi.

Dr Koh berkata beliau mengenali menantu Perdana Menteri itu ketika Khairy aktif sebagai pemimpin pelajar Malaysia di United Kingdom dan belum menjadi menantu Perdana Menteri lagi.

"Khairy datang menemu bual saya di sini dan menulis rencana dalam terbitan pelajar Malaysia di United Kingdom," katanya.

Berdasarkan pengalaman itu, Koh berkata, beliau tidak pernah menerima arahan atau cadangan daripada Khairy.