Peletakan jawatan Syed Mohamed Noor Azmi Syed Hassan Nazari sebagai Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat adalah berpunca daripada masalah peribadi yang dihadapinya, kata Ketua Pemuda Umno Perak, Zainol Fadzi Paharudin.

Syed Mohamed, 41, mengumumkan peletakan jawatannya semasa berucap di mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat, kelmarin.

Manakala surat peletakan jawatannya diserahkan kepada Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat Senator Datuk Hamzah Zainuddin pada 6 Julai lalu, tetapi surat rasmi kepada Pemuda Negeri dihantar Jumaat lalu(4 Ogos).

Menurut Bernama, Zainol berkata, pihaknya menghormati keputusan Syed Mohamed itu kerana sebagai seorang ahli politik, Syed Mohamed Noor Azmi telah melakukan tindakan yang betul untuk dirinya.

Bercakap kepada pemberita di Ipoh semalam, Zainol Fadzi berkata, beliau akan menghantar laporan penuh mengenai peletakan jawatan Syed Mohamed Noor Azmi kepada Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat.

Enggan ulas lanjut

Menurutnya, beliau akan menjelaskan kepada Hishammuddin mengenai perkara sebenar yang berlaku sehingga menyebabkan peletakan jawatan tersebut.

"Saya rasa tak perlulah saya ulas lebih lanjut mengapa beliau lepaskan jawatan ini, cukuplah," katanya ketika ditanya sama ada ia berkaitan dengan masalah dalaman di bahagian berkenaan.

Syed Mohamed Noor Azmi yang memegang jawatan itu sejak 2000 tidak menyatakan sebab beliau membuat keputusan itu dan enggan mengulas apabila ditanya oleh para pemberita.

Ketika dihubungi semalam, beliau masih enggan mengulas lanjut dan sekadar berkata laporan yang disiarkan akhbar semalam mengenai peletakan jawatannya sudah cukup menarik.