Kematian anaknya dorong Sara Lily ceburi politik
Selama dua tahun beliau berdepan dengan pihak polis berhubung kes kematian anak lelakinya serta untuk menuntut mayat anaknya itu. Dan Ahad lalu, G Sara Lily, ibu kepada Francis Udayappan, menceburkan diri dalam politik.
Selama dua tahun beliau berdepan dengan pihak polis berhubung kes kematian anak lelakinya serta untuk menuntut mayat anaknya itu. Dan Ahad lalu, G Sara Lily, ibu kepada Francis Udayappan, menceburkan diri dalam politik.
Empat bulan selepas pengkebumian anaknya, Sara memilih untuk menggunakan platform politik untuk berkempen untuk ketelusan dalam pasukan polis.
"Saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anak orang lain," kata Sara Lily dalam satu sidang akhbar kelmarin bagi mengumumkan penyertaannya dalam parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Beliau turut menyerahkan senarai 40 borang pemohonan keahlian kepada Ketua Wanita PKR, Fauziah Salleh di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur, bagi pihak penyokong dan rakan-rakannya, yang sebahagian besar terdiri daripada wanita.
Sara Lily, yang akan mengetuai cawangan Bandar Baru Sentul yang baru ditubuhkan berkata, beliau memilih PKR kerana parti itu merupakan penyokong kuat pejuangannya itu.
Naib Presiden, R Sivarasa berkata, personaliti dan keberanian yang telah ditunjukkan oleh Sara Lily, mencerminkan perjuangan parti itu dalam menentang kezaliman.
Penubuhan IPCMC
Beliau mengulangi gesaannya supaya disegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bagi meningkatkan lagi kecekapan serta ketelusan dalam pasukan polis.
"Jika sudah wujud IPCMC sebelum ini (sewaktu kematian Francis), tragedi ini mungkin dapat dielakkan," katanya.
Naib Ketua Pemuda PKR, S Manikavasagam berkata, sebuah VCD yang mendokumentasikan pengalaman Sara Lily berdepan dengan pihak polis ketika menuntut mayat anak itu, akan diedarkan sewaktu berlangsungnya kongres tahunan parti itu di Pulau Pinang bulan depan.
Sara Lily tetap dengan dakwaannya bahawa pihak polis terbabit dalam kematian Francis dan mencampak mayatnya ke dalam Sungai Klang selepas dia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kecurian.
Pihak polis pula menafikan dakwaannya tersebut, serta menegaskan bahawa Francis yang terjun ke dalam sungai itu selepas melarikan diri dari balai polis Brickfields ketika sedang disoalsiasat. Mereka kemudiannya enggan menyerahkan mayat tersebut kerana identitinya diragui.
Akhirnya, siasatan yang dijalankan, memutuskan bahawa mayat tersebut adalah mayat Francis, tetapi menolak kemungkinan berlaku sebarang perbuatan jenayah.Sara Lily kemudiannya memfailkan rayuannya terhadap keputusan tersebut.

