Malaysiakini
BERITA

PKPD Medan 88: Lebih 400 penduduk belum dapat dikesan

Bernama

Diterbitkan

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusinya Mohamad Zain A. Hamid berkata jumlah mereka yang tidak pulang itu dikesan hasil temu ramah bersama penghuni yang memaklumkan ada rakan serumah atau ahli keluarga mereka yang tidak pulang sebaik sahaja mengetahui kawasan itu akan dikenakan PKPD.

"Pihak polis akan mengesan mereka melalui pendaftaran MySejahtera yang dibuat mereka atau pendaftaran secara manual di kedai-kedai atau premis yang dikunjungi di sekitar kawasan ini.

"Tujuan PKPD dibuat ialah untuk saringan kesihatan dan bukan saringan keselamatan atau sebagainya. Jadi, saya mohon penduduk di sini yang masih belum menjalani ujian calitan untuk segera berbuat demikian," katanya dalam sidang media di Sepang hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dan Pegawai Kesihatan Daerah Sepang Dr Nasir Mohd Habib.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di Medan 88, berkuat kuasa hari ini hingga 25 Nov, melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

Mohamad Zain yang juga Pegawai Daerah Sepang, berkata pemasangan kawat berduri dan kepungan awal di kawasan itu bertujuan mengelakkan penduduk lari sebagaimana yang berlaku di PKPD Plaza Hentian Kajang.

"Kami masuk ke sini 8 malam Selasa lepas untuk kepung sebagai persediaan pelaksanaan PKPD. Ini menimbulkan polemik yang besar kepada masyarakat terhadap tindakan yang kami buat lebih awal.

"(Masuk lebih awal) ini adalah strategi kami kerana telah belajar daripada beberapa PKPD yang berlangsung di Selangor yang mana apabila kami kepung kawasan itu dan buat pengumuman pada keesokannya, kami hadapi banyak masalah antaranya tidak mencapai objektif mengadakan PKPD di kawasan tersebut, iaitu melaksanakan saringan kesihatan," katanya.

Beliau berkata maklumat awal mendapati purata lebih 1,000 orang mengunjungi Medan 88 untuk pelbagai tujuan ekonomi kerana terdapat bank dan hotel di kawasan berkenaan.

"Penduduk di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi hingga Sepang sering datang ke sini untuk pelbagai urusan dan kerana itu kami perlu melaksanakan PKPD sebab tidak mahu virus ini menular kepada masyarakat di luar sana.

"Sekiranya ada pihak majikan yang mahu pekerja mereka disaring, kami juga akan terima," katanya.

Beliau berkata tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan ke atas penduduk yang enggan menjalani ujian saringan COVID-19.

Mohamad Zain berkata sehingga Isnin lepas, sebanyak 43 kes positif COVID-19 dikesan di Medan 88 dan semua kes positif dipercayai mempunyai rekod pulang dari tempat berisiko tinggi iaitu Sabah.

Sehingga semalam, 399 penduduk di Medan 88 telah menjalani ujian calitan pertama dan keputusan masih belum diketahui.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata seramai 21 anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan yang bertugas mengikut tiga syif di tujuh pos kawalan Medan 88.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.