Hampir 30 peratus generasi muda sanggup mengamalkan dan menerima rasuah jika mereka mempunyai kuasa dan diberi tanggungjawab terhadap sesebuah organisasi atau institusi, demikian menurut satu kajian.

Presiden IIM, Datuk Seri Dr Isahak Yeop Mohamad Shar berkata, kajian Institut Integriti Malaysia (IIM) itu mendapati generasi muda tidak begitu jijik terhadap rasuah.

Gejala itu, katanya, jika tidak dibendung, ia boleh membinasakan negara.

"Hasil kajian ini sangat membimbangkan," katanya semasa berucap di majlis perasmian seminar mengenai Peranan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sivil Dalam Pengukuhan Integriti di Alor Star hari ini.

Menurut laporan Bernama, seminar yang dianjurkan IIM dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Alor Star, Datuk Wira Yusof Nayan.

"Bayangkan jika 30 peratus daripada golongan remaja tadi memimpin negara dan menjadi pentadbir ataupun pengurus sesebuah institusi, apa akan terjadi kepada negara jika mereka ini diberi kuasa," kata Isahak.

Beliau berkata, Pelan Integriti Nasional yang dilancarkan oleh kerajaan pada April 2004 perlu dihayati lebih mendalam bagi membendung kehakisan moral golongan remaja.