'Pegawai MoTAC gagal yakinkan MOF untuk dapat peruntukan wajar'
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata) mengkritik pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) kerana didakwa gagal meyakinkan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan sewajarnya bagi industri itu dalam Belanjawan 2021.
Presiden Mata, Mohd Khalid Harun berkata, kementerian itu hanya mampu mendapat tiga inisiatif yang tidak begitu membantu penggiat pelancongan secara keseluruhan yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19.
"Persoalan kami – apakah yang dilakukan oleh pegawai-pegawai di MoTAC sebenarnya?
"Inilah buktinya apabila mereka gagal untuk melibatkan penggiat industri semasa merancang peruntukan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Khalid mendakwa program latihan dan penempatan semula 8,000 kakitangan penerbangan sebanyak RM50 juta yang diumumkan mengenepikan kakitangan sektor perhotelan dan agensi pelancongan, manakala geran khas prihatin tambahan Sabah pula mengenepikan penggiat industri pelancongan di negeri-negeri lain di Malaysia.
Katanya, satu-satunya inisiatif yang disalurkan terus kepada industri itu adalah 500 peluang pekerjaan sebagai jurupandu pelancongan untuk komuniti setempat dan Orang Asli.

Sementara itu katanya, peruntukan lain yang diletakkan di bawah MoTAC tidak diperoleh kementerian itu seperti penyelenggaraan kemudahan pelancongan sebanyak RM50 juta yang sebenarnya diperolehi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain itu, peruntukan bagi pemeliharaan Bangunan Warisan Kebangsaan sebanyak RM10 juta diperoleh Kementerian Kerja Raya, manakala Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) yang mendapat peruntukan RM35 juta bukan merupakan agensi di bawah MoF.
Tambahnya, pengecualian levi tabung pembangunan sumber manusia (HRDF) selama enam bulan juga dipercayai diperjuangkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan bukan oleh Motac.
"Sehingga waktu ini, mereka juga gagal untuk membantu kami meyakinkan pihak institusi kewangan di dalam menyalurkan dana skim pembiayaan sektor pelancongan Penjana sebanyak RM1 bilion yang sehingga kini hanya 3 peratus sahaja telah diluluskan oleh pihak institusi kewangan," katanya.
Bagaimanapun Mohd Khalid berkata pihaknya berasa sedikit lega selepas dimaklumkan Menteri MoTAC, Nancy Shukri mengenai peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta sebagai pakej rangsangan untuk industri itu.
"Cuma kami berharap pegawai di MoTAC dapat menguruskannya dalam kadar segera kerana peruntukan sedia ada untuk pakej rangsangan pelancongan domestik tahun ini masih tidak dibelanjakan lagi walaupun telah diumumkan pada bulan Julai yang lalu," katanya.
Sebelum ini Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis turut menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung peruntukan terhadap sektor pelancongan dalam Belanjawan 2021.
Katanya, semua pemain industri pelancongan terjejas teruk akibat Covid-19 dan kerajaan tidak sepatutnya hanya memberi bantuan secara bersasar kepada kakitangan syarikat penerbangan sahaja.
Selain itu, Persatuan Pelancongan Sabah (STA) juga menggesa kerajaan mengkaji semula peruntukan untuk membantu industri itu yang teruk terjejas akibat Covid-19.

