Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penggerak Komuniti Negara nafi terima dana RM8.6 juta, buat laporan polis
Diterbitkan:  Nov 14, 2020 3:59 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) hari membuat laporan polis berhubung dakwaan pertubuhan itu menerima peruntukan kerajaan berjumlah RM8.6 juta.

Laporan polis dibuat oleh pengerusinya Nor Hizwan Ahmad terhadap Ketua Pemuda DAP Perak Steven Chaw yang membuat dakwaan itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Nor Hizwan berkata pihaknya turut menafikan dakwaan bahawa setiap anggota jawatankuasa PKN menerima RM870 ribu daripada peruntukan berkenaan.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tohmahan, fitnah serta laporan tersebut yang jelas merupakan sebuah laporan polis yang mengandungi fakta palsu.

"Saya ingin menjelaskan bahawa NGO ini tidak pernah menerima dana seperti yang didakwa. Aktivis-aktivis NGO ini di seluruh negara juga tidak menerima sebarang gaji.

"Semua aktiviti yang dilakukan adalah atas dasar ehsan dan semangat sukarelawan yang tinggi di kalangan kami demi membantu komuniti khususnya yang terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan Chaw itu dilaporkan di portal Perak Today pada 12 November lalu.

Memetik laporan itu, Chaw mendakwa maklumat itu diperolehi setelah membuat carian di laman web sebuah kementerian.

Dalam pada itu, Nor Hizwan berkata pihaknya sedang mengumpul bukti sebaran dakwaan tersebut.

"(Kami) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut demi membersihkan nama kami daripada fitnah dan tohmahan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS