Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini berkata negara-negara Islam patut mempertimbang membekalkan senjata kepada Hezbollah di tengah-tengah kemuncak kemarahan terhadap pencerobohan Israel di Lebanon.

Pada masa ini, Malaysia merupakan pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dianggotai oleh 57 negara dan Syed Hamid berkata, Israel tidak boleh dibiarkan bertindak sesuka hati.

"Ada pihak yang mencadangkan supaya kita membekalkan senjata. Ok, kita perlu melihat semua ini," kata Syed Hamid dalam laporan Bernama.

"Kerajaan negara anggota (OIC) perlu mengkajinya dan kita tidak boleh membiarkan Israel melakukan sesuka hatinya," katanya, sambil menambah negara Islam perlu bertindak mengikut norma dan prinsip antarabangsa.

Kemarahan memuncak

Minggu lalu, Malaysia menganjurkan mesyuarat negara-negara Islam dari OIC yang menuntut supaya dilaksanakan segera gencatan senjata di Timur Tengah dan mengingatkan bahawa kemarahan yang memuncak terhadap Israel boleh mengakibatkan kemunculan keganasan baru.

Syed Hamid turut mengkritik draf resolusi Pertubuhan Bangsa_Bangsa Bersatu (PBB) yang ditolak oleh Lebonan kerana ia tidak mendesak pengunduran segera tentera Israel dari wilayahnya.

"Saya rasa kita tidak boleh melihat pada Israel sahaja. Kita juga mesti melihat apakah yang Lebanon mahu. Saya rasa adalah tidak adil dan berat sebelah jika hanya melihat yang Israel mahu sahaja," katanya.

- AFP