Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya tak isytihar keluar parti, itu keputusan Amanah - Adun Meru

Adun Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menegaskan yang dia tidak tahu-menahu mengenai pengisytiharan keluar parti oleh Amanah untuk dirinya pagi tadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Fakhrulrazi berkata dia belum menerima apa-apa notis daripada Amanah dan hanya mendapat tahu mengenai hal itu melalui media sosial.

“Saya tak ada komen. Saya tak ada apa. Saya tak ada cerita nak nafi. Saya tak kata apa-apa.

“Tengok bila benda itu (spekulasi keluar parti) dah tular, tak sampai 24 jam mereka (Amanah) dah buat keputusan. Saya nak buat apa?”

“Saya tak ada isytihar pun (keluar parti). Kalau itu keputusan parti, saya akur,” katanya kepada Malaysiakini.

Fakhrulrazi memberikan respons tidak lama selepas Setiausaha Amanah Selangor, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim, mengesahkan dia telah keluar parti untuk menyertai PKR, sekali gus membatalkan semua jawatan parti yang disandangnya.

Ditanya apakah dia sudah menyertai PKR, Mohd Fakhrulrazi tidak mahu mengulas dan menjawab akan memberi penjelasan apabila “sampai masa”.

“Tak tahu. No comment. Sekarang lebih kepada fokus nak kerja sebagai Adun, sebab rakyat yang pilih. Saya kena selesaikan mandat itu.

“Nanti saya akan jelaskan bila sampai masa,” katanya lagi.

Spekulasi keluar parti membabitkan Mohd Fakhrulrazi bertiup semalam, mendakwa dia akan menyertai PKR, namun ketika dihubungi semalam, Mohd Fakhrulrazi juga enggan mengulas mengenai perkara itu.

Amanah memenangi sembilan kerusi di dewan negeri Selangor semasa pilihan raya umum 2018.

Lihat Komen
ADS