Paling Popular
Terkini

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memaklumkan tahap penularan Covid-19 di negeri itu masih terkawal walaupun berlaku peningkatan kes.

Pengarahnya, Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini pihaknya melihat tiada keperluan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) seperti mana di kebanyakan negeri lain.

"Kalau ikut pada statistik semasa dan ada kluster terkawal, saya rasa tiada keperluan (PKPB).

"Kita tidak boleh tengok pada peningkatan untuk sehari dua sahaja, ada faktor lain perlu ambil kira," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan pelaksanaan PKPB bagi negeri itu.

Dr Zaini turut memaklumkan sebaran maklumat di media sosial yang menyatakan PKBP akan dilaksanakan di Kelantan dalam masa terdekat adalah palsu.

Sebagai rekod, setakat semalam Kelantan mempunyai 31 kes aktif dengan satu kluster iaitu kluster Kube.

Sementara itu Dr Zaini berkata, peningkatan kes kebelakangan ini memang sudah dijangka susulan kewujudan kluster.

Namun bagi pelaksanaan PKPB katanya, banyak faktor yang menjadi penilaian pihak Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Faktor lain yang perlu dilihat seperti bilangan kluster yang ada, sama ada kluster itu terkawal atau tidak, bilangan jangkitan tempatan dan tahap pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard," jelasnya.

Lihat Komen
ADS