Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker: Usul gesa Tiong minta maaf ditolak atas dasar teknikal
Diterbitkan:  Nov 17, 2020 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menolak usul bertulis agar Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing memohon maaf atas kenyataannya terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketika di akhir sesi soal jawab di Dewan Rakyat pagi ini, Azhar berkata dia menolak usul bertulis oleh RSN Rayer (PH-Jelutong) atas dasar teknikal dan bukannya merit.

"Saya tidak menolak usul ini berdasarkan meritnya, tetapi kerana prosedur kerana Yang Berhormat (Rayer) menghantar usul untuk saya kaji semula keputusan timbalan speaker (Azalina Othman Said).

"Di bawah Peraturan Mesyuarat 40(3), saya tiada kuasa itu. Kuasa untuk kaji semula keputusan yang dibuat speaker atau timbalan speaker ialah Majlis Mesyuarat," katanya ketika menjawab pertanyaan Rayer berkenaan penolakan usul itu.

Pada 11 Nov, Azalina memutuskan bahawa Tiong boleh meminta maaf atau menjelaskan kenyataannya terhadap Noor Hisham yang mencetuskan bantahan, yang akhirnya menyebabkan Rayer diarah keluar dewan.

Ia selepas Rayer tidak mematuhi arahan Azalina untuk duduk, selepas Tiong didesak untuk meminta maaf kerana menyifatkan Noor Hisham "takut mati" kerana tidak pergi sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19.

Hari ini Rayer mengucapkan terima kasiht kepada Azhar kerana menjawab soalannya dan turut meminta dia menimbang semula penggantungan lima hari terhadap Lim Lip Eng (PH-Kepong) kerana menyifatkan keputusan Azalina sebagai "bodoh".

"Pintu pejabat saya sentiasa terbuka, jadi jika YB Kepong mahu jumpa saya, saya sentiasa sedia," katanya sebelum meneruskan perbahasan Belanjawan 2021.

Lihat Komen
ADS