Masjid dan surau di seluruh Kelantan diarahkan mengadakan sembahyang hajat selama 40 malam bermula hari ini, susulan peningkatan kes Covid-19 dalam negara dan negeri itu kebelakangan ini.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, dalam kenyataan media hari ini.

"Berikutan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara termasuk Kelantan, Maik memutuskan agar solat hajat, bacaan yasin dan doa selamat diadakan selama 40 malam bermula 17 Nov.

"Arahan ini dikecualikan masjid-masjid yang terletak di kawasan yang disahkan terdapat kluster Covid-19," katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, arahan itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selaku ketua agama Islam negeri.

"Saya mendoakan agar segala usaha dan langkah diambil akan diperkenankan Allah S.W.T dan wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara segera berakhir dan diangkat Allah jua," katanya.

Setakat semalam, terdapat 12,601 pesakit Covid-19 yang sedang menjalani rawatan di seluruh negara.

Di Kelantan pula, terdapat 36 pesakit yan sedang dirawat dengan 28 kes baru sejak 14 hari lalu.