Majlis Tertinggi (MT) Umno digesa supaya mengambil dayausaha untuk mempertemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan isu perbalahan antara mereka secepat mungkin.

Gesaan tersebut diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat perwakilan Pemuda Umno Bahagian Masjid Tanah, Melaka Sabtu lalu, yang dirasmikan oleh Exco Pemuda Datuk Mukhriz Mahathir.

"Pemuda bahagian juga menolak penggunaan orang tengah kerana mereka bimbang ada pihak yang tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh," katanya Ketua Pemuda bahagian tersebut, Rozamri Rokambul ketika dihubungi malaysiakini.

Di samping itu, katanya, Pemuda bahagian berkenaan juga meminta menteri-menteri kabinet supaya jangan terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana dan menambahkan ketegangan.

Katanya, beberapa menteri kabinet bertindak secara melulu dengan mengkritik secara keras Dr Mahathir dan ini menyebabkan bekas Presiden Umno membalas dan mengkritik kepimpinan Abdullah secara berterusan.

"Ramai ahli Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Masjid Tanah merasa sangat kecewa kerana isu yang sepatutnya boleh diselesaikan secara baik telah berlanjutan dan semakin kusut.

'Mendiamkan diri'

"Berikutan itu, mesyuarat Pemuda bahagian ini telah membincang dan meluluskan usul supaya krisis di antara Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah dihenti dan diselesaikan segera," katanya.

Beliau berkata, ahli Pemuda khuatir jika isu ini berterusan, Umno akan pecah sepertimana yang berlaku akibat pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Menurutnya lagi, Pemuda bahagian itu kini mengambil pendekatan mendiamkan diri daripada bercakap mengenai isu-isu yang diketengahkan oleh Dr Mahathir.

Sementara itu, para perwakilan juga membincangkan usul mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang begitu mudah dikuasai oleh pelabur asing.

Rozamri berkata, Pemuda Umno tidak mahu GLC negara ini menjadi seperti GLC di Thailand di mana ekuiti banyak syarikat kerajaan negara itu telah dikuasai pelabur asing.

Kedua-dua usul tersebut akan dibawa ke mesyuarat bahagian yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dijangka merasmikan mesyuarat bahagian tersebut.

Usul-usul lain yang dibahas dan diluluskan dalam menyuarat Pemuda Masjid Tanah minggu lalu ialah isu pendidikan, agama dan alam sekitar.