Semua setiausaha Barisan Nasional negeri kini ditugaskan untuk memantau kehadiran wakil rakyat BN di setiap persidangan Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk dilaporkan terus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Mereka telah dimaklumkan mengenai perkara itu sewaktu menghadiri mesyuarat dengan setiausaha agung BN, Datuk Mohamad Rahmat di Kuala Lumpur hari ini.

Manakala ibu pejabat Umno pula ditugaskan untuk memantau kehadiran ahli-ahli Parlimen BN di setiap persidangan Dewan Rakyat.

"Arahan itu telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN bertujuan melihat prestasi wakil rakyat berkenaan sama ada hendak diteruskan atau diganti dengan calon lain," kata Mohamad.

Di samping itu, katanya, wakil rakyat sendiri kini diwajibkan menyediakan laporan bulanan kepada Mahathir mengenai perkhidmatan yang mereka berikan kepada masyarakat.

Laporan itu, kata Mohamad, kemudiannya akan dibandingkan dengan maklumbalas daripada rakyat.

"Kita hendak tahu tempat yang mereka lawati di kawasan masing-masing, aktiviti rasmi dan tidak rasmi mereka, masalah rakyat yang dikesan dan diselesaikan, jumlah pengundi semua kaum yang mereka temui dan projek-projek yang mereka luluskan," katanya.

Menurutnya, ia bertujuan"memperbetulkan keadaan" di mana selama ini ada kecenderungan bagi wakil rakyat bertemu pengundi atau kaum yang mereka wakili sahaja.

"Seseorang wakil rakyat BN menjadi wakil rakyat semua kaum. Sewajarnya mereka berjumpa dan menyelesaikan masalah bagi memuaskan hati semua kaum," jelasnya.

Menurutnya, langkah itu adalah usaha BN untuk memperkuatkan jentera parti bagi memastikan ia terus memerintah selepas pilihanraya 2003 nanti.

Katanya, semua mesyuarat BN di peringkat negeri dan kawasan perlu dicergaskan untuk melancarkan jentera parti dalam menyelesaikan masalah rakyat semua kaum supaya sokongan bagi membolehkan BN terus berkuasa selepas pilihanraya akan datang.

Beliau turut menyerahkan surat perlantikan kepada semua pengerusi BN negeri dan kawasan parlimen yang berkuatkuasa 31 Ogos lalu hingga 31 Julai 2003.

Sementara itu, Mohamad berkata pihak ibu pejabat BN belum menerima permohonan rasmi Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyertai semula BN.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa president PBS Datuk Seri Joseph Pairin Kitigan telah melahirkan hasrat parti itu untuk menyertai semula BN sewaktu berucap di kongres PBS di Hongkod Koisan, dekat Penampang dua hari lalu.

Manakala Mahathir pula dilaporkan berkata BN akan menilai keikhlasan PBS sebelum menerimanya semula bagi mengelak "pisang berbuah dua kali".

Mohamad berkata, penyertaan PBS akan menunjukkan bahawa semua rakyat negeri itu menerima BN sebagai satu konsep politik yang membawa kejayaan kepada rakyat dan negeri.

PBS sebelum ini pernah menyertai gabungan BN sebelum meninggalkannya 11 tahun lalu.