Pemuda PJ Utara turut undang Dr M beri ucaptama
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara mengikut jejak Umno Bahagian Padang Besar dengan mengundang bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberikan ucaptama selepas mesyuarat perwakilan pemuda bahagian itu Sabtu ini.
Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara mengikut jejak Umno Bahagian Padang Besar dengan mengundang bekas Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memberikan ucaptama selepas mesyuarat perwakilan pemuda bahagian itu Sabtu ini.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohd Ali Mohd Saad berkata, pihaknya mengundang Dr Mahathir sebagai menghargai jasa dan pengorbanan beliau terhadap negara ini.
Katanya, seramai 100 perwakilan akan menghadiri mesyuarat tersebut tetapi berikutan kehadiran Dr Mahathir kira-kira 500 termasuk ahli dan orang ramai dijangka turut hadir.
"
Pemuda Petaling Jaya Utara mengambil langkah itu sebagai memberi penghargaan kepada Tun Dr Mahathir semasa hayatnya masih ada," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mesyuarat perwakilan Pemuda Petaling Jaya Utara akan diadakan di Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya kira-kira jam 9 pagi. Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama selepas mesyuarat selesai.
Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara Datuk Ikhwan Salim Abu Sujak akan merasmikan mesuarat perwakilan pemuda tersebut.
Jemput hadir
Sebelum ini, Umno Bahagian Padang Besar turut mengundang Dr Mahathir untuk mengadakan ceramah perdana sempena mesyuarat bahagian itu 27 Ogos ini.
Majlis ceramah perdana tersebut dijadual diadakan di Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri pada jam 10 pagi hari Jumaat 26 Ogos.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian Kubang Pasu, Zulkifli Mohd Ros Ahamad berkata, mesyuarat bahagian pada 2 September ini turut mengundang Dr Mahathir untuk hadir.
"Sebagai ahli Umno bahagian Kubang Pasu, Tun Dr Mahathir berhak menghadiri mesyuarat perwakilan sebagaimana yang dilakukan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kubang Pasu turut diundang untuk menghadiri mesyuarat kali ini.
Mesyuarat Umno Bahagian Kubang Pasu akan dirasmikan oleh ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Mohad Zin Mohamad yang juga Timbalan Menteri Kerjaraya.

