Malaysiakini
BERITA

Pilihan raya harus dihindari sebanyak mungkin - Noor Hisham

Hariz Mohd

Diterbitkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di kawasan parlimen Batu Sapi, sejurus dapat menghentikan pilihan raya kecil (PRK) yang dijadual berlangsung dua minggu lagi.

“KKM dari awal risau sekiranya ada pilihan raya, PRK atau pilihan raya umum (PRU).

“Sudah menjadi nasihat kami bahawa pilihan raya harus dihindari, sebanyak mungkin. Ini adalah pandangan KKM," kata ketua pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Dia berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengisytiharkan darurat di Batu Sapi, Sabah.

Keputusan darurat itu turut dapat menghentikan PRK yang bakal dijalankan di kawasan Parlimen Batu Sapi, di mana tarikh pengundian telah ditetapkan pada 5 Disember.

Berdasarkan perlembagaan, pilihan raya harus diadakan dalam waktu 60 hari untuk melantik ahli parlimen baru selepas kematian penyandangnya, Liew Vui Keong bulan lalu.

Selain itu, Noor Hisham berkata, pilihan raya negeri (PRN) Sabah adalah contoh terbaik bagaimana kes Covid-19 boleh menular ketika pilihan raya diadakan.

“Kalau boleh, amat penting cegah satu lagi pilihanraya untuk cegah Covid-19 dalam negara kita” tambahnya.

Sementara itu, ditanya mengenai peningkatan mendadak jumlah kes positif yang berkaitan dengan Kluster Tembok, yang bermula di Penjara Alor Setar di Kedah dan sejak itu tersebar di luar, Noor Hisham berkata, kes-kes tersebut datang dari ujian kedua yang dilakukan ke atas individu yang sudah ditempatkan di bawah kuarantin.

Untuk rekod, kluster tersebut sehingga kini merekodkan jumlah 1,972 kes positif.

Isnin lalu, 111 kes baru berkaitan Kluster Tembok telah dilaporkan, diikuti dengan 20 kes semalam dan sembilan hari ini.

“Terdapat peningkatan kes dan ujian kedua dilakukan selepas kuarantin,” katanya merujuk kepada ujian saringan yang wajib diambil pada hari ke 13 bagi mereka yang diarahkan kuarantin sebelum boleh keluar.

Selain itu, peningkatan kes turut terjadi kepada aktiviti ujian bersasar yang dilakukan KKM.

Noor Hisham menambah, pengesanan kes aktif mungkin kelihatan seperti terdapat lonjakan mendadak dalam jumlah kes baru.

“Tetapi ini tidak lama. Hanya kerana ujian (bersasar),” katanya.

Vaksin polio diteruskan ketika pandemik Covid-19

Dalam sidang media hari ini, Noor Hisham turut bercakap soal usaha Malaysia untuk memperuntukkan vaksin menangani polio, terutama di Sabah susulan penularan wabak itu di Filipina pada September tahun lalu.

Menurutnya, pegawai kesihatan telah meneruskan usaha vaksin Polio ketika wabak Covid-9 melanda dan keadaan negara ketika dalam perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sejak kempen imunisasi Polio Sabah bermula pada 27 Nov 2019 sehingga 16 Nov 2020, sejumlah 820,135 kanak-kanak di bawah umur 13 tahun telah diberikan dua dos vaksin ‘oral polio bivalent', sementara 737,936 diberikan dua dos vaksin ''oral polio monovalent'

“Impak positif kempen ini telah dilihat selepas kes terakhir polio direkodkan pada 10 Mac 2020.

“Pengesanan kes polio masih diteruskan menerusi program Acute Flaccid Paralysis Surveillance dan sehingga 12 Nov 2020 semua 115 kes serata negeri telah disahkan tiada kes polio,” tambahnya.

Noor Hisham mengatakan bahawa liputan vaksinasi polio melalui kombinasi vaksin lima siri, bagaimanapun, telah menurun dibandingkan dengan tahun lalu.

Sejak Jun 2020, KKM mengenal pasti 95.6 peratus kanak-kanak yang perlu diberikan vaksin polio telah dilakukan berbanding 98.4 peratus yang dilakukan tahun lalu.

Dia turut menggesa ibu- bapa supaya terus menvaksin anak mereka.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan