Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi pencemaran air: LRA Rantau Panjang ditutup semula
Diterbitkan:  Nov 18, 2020 9:09 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang ditutup semula selepas pencemaran bau dikesan di muka sauk loji berkenaan.

Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas) mengatakan ia mengesan bau seperti solvent (pelarut) pada 7 petang tadi, dengan bacaan nombor bau ambang (TON) satu.

"Berikutan itu, LRA Rantau Panjang telah dihenti tugas pada jam 7.10 petang.

"Luas, Air Selangor dan pihak-pihak terlibat sedang menjalankan siasatan dan tindakan-tindakan mitigasi segera.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," kata kenyataan Luas di Facebook.

Loji yang sama adalah antara empat yang ditutup minggu lalu setelah sebuah kilang dipercayai membuang sisa kimia yang akhirnya berakhir di Sungai Selangor.

Ia kembali beroperasi semula pada 11 November lalu.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 30 Okt lalu, Menteri Besar Amirudin Shari menyuarakan hasrat kerajaan negeri untuk meminda Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 bagi meningkatkan denda terhadap pesalah mencemaran sungai di negeri itu.

Jelas Amirudin, ia adalah usaha kerajaan negeri mengatasi insiden pencemaran air pada masa akan datang.

Pencemaran air di Selangor menjadi antara punca gangguan bekalan air yang berulang di Lembah Klang.

Lihat Komen
ADS