Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang tetap akan mencadangkan usul supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang dipilih secara bergilir-gilir antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, ketuanya, Salim Bari berkata, pergerakan pemuda negeri kesal dengan kenyataan pihak-pihak tertentu yang mendakwa usul penggiliran Ketua Menteri itu berbau perkauman.

Baru-baru ini, Presiden Gerakan Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik membidas pihak-pihak tertentu yang membangkitkan isu jawatan Ketua Menteri dan menyifatkan isu itu berunsur perkauman.

Sebaliknya, tegas Salim, tidak timbul soal isu perkauman kerana jawatan itu bukanlah milik eksklusif mana-mana kaum tetapi ia diberikan atas dasar dan persefahaman BN.

"Usul ini adalah suara dari akar umbi... ia bukan usul perkauman kerana penggiliran jawatan Ketua Menteri akan membolehkan semua parti komponen berpeluang menjadi Ketua Menteri termasuk dari MCA dan Umno," kata beliau.

Lagi pula, katanya, sesiapapun tidak sepatutnya mempersoalkan kemampuan pemimpin Umno untuk menjadi Ketua Menteri kerana parti itu mempunyai majoriti seimbang dengan parti komponen yang lain.

Pucuk pimpinan

Menurut laporan Bernama, Salim berkata, jika Gerakan mempunyai cara tersendiri memimpin negeri ini, MCA juga mempunyai caranya tersendiri dan semua parti yang mempunyai majoriti seimbang harus diberi peluang untuk menerajui negeri ini secara bergilir.

Salim berkata, pergerakan Pemuda Umno di seluruh negeri akan mencadangkan usul penggiliran jawatan Ketua Menteri itu dan usul itu akan dibincangkan di peringkat negeri.

"Saya sendiri sebagai Ketua Pemuda negeri dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Bendera akan mencadangkan usul ini dalam mesyuarat pemuda," kata beliau.

Beliau berkata cadangan usul itu bagaimanapun akan diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dibincangkan dan pemuda akan akur dengan sebarang pandangan pucuk pimpinan sama ada usul itu akan dibawa ke perhimpunan agung Umno tidak lama lagi atau sebaliknya.

"Usul ini adalah desakan pemuda sahaja dan kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan," kata beliau.

Pergerakan Umno Nibong Tebal merupakan bahagian pertama yang meluluskan usul tersebut dalam mesyuarat perwakilannya Ahad lalu.