Harta sepencarian: Effendi, Faridah diberi sebulan untuk selesaikan
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberi tempoh sebulan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi dan bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi untuk menyelesaikan pertikaian penyerahan harta sepencarian yang bernilai hampir RM50 juta.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memberi tempoh sebulan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi dan bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi untuk menyelesaikan pertikaian penyerahan harta sepencarian yang bernilai hampir RM50 juta.
Berikutan itu, Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid menetapkan kes tuntutan harta itu disebut semula pada 14 September depan selepas peguam syarie kedua-dua pihak bersetuju untuk berbincang di luar mahkamah.
Pertikaian mengenai penyerahan harta sepencarian itu, yang telah dipersetujui bersama sebelum penceraian itu berlaku, telah berlanjutan sejak pertengahan tahun lalu.
Menurut laporan Bernama, terdahulu ketika prosiding, peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili Effendi berkata anak guamnya tidak pernah menghina perintah mahkamah kerana sebahagian harta telahpun dipindahkan ke atas nama Zariah.
Effendi, katanya, tidak pernah menerima notis tunjuk sebab dan pihaknya telahpun memfailkan permohonan untuk membatalkan perintah tunjuk sebab itu pada 8 Ogos lalu kerana pihak Zariah telah menyalahi prosedur undang-undang, tidak menunjukkan kuota perundangan yang munasabah dan penyalahgunaan proses mahkamah, permohonan pramatang dan mengandungi fakta yang tidak tepat.
Mahkamah Tinggi Syariah telah mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Effendi pada 26 April lalu, lmengapa beliau tidak patut dipenjarakan kerana gagal mematuhi perjanjian dan melaksanakan perintah mahkamah.
Mengikut perjanjian persetujuan perceraian yang ditandatangani pada 28 Januari 2005, Effendi, 58, bersetuju menyerahkan hartanah di Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang bebas daripada sebarang bebanan.
Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham syarikat Encorp Utility Sdn Bhd, nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk di London.
Perintah penghakiman
Perjanjian yang mengikut kedua-dua belah pihak itu telah dijadikan perintah pada 21 Jun 2005 oleh Ketua Hakim Syarie, Hussin Ahamad.
Peguam Syarie Dr Mohd Rafie Shafie yang mewakili Zariah, 55, berkata pihaknya telahpun menyerahkan notis tunjuk sebab itu ke pejabat menteri tersebut melalui pembantu peribadinya pada 11 Julai 2006.
Katanya mengikut Amalan No 13 Tahun 2004 Penghinaan di Mahkamah memperuntukkan tiada apa-apa permohonan atau tuntutan daripada orang yang dituduh menghina mahkamah itu boleh didengar oleh mahkamah selagi perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi sepenuhnya.
Sementara itu di luar mahkamah, Kamar Ainiah memberitahu pemberita bahawa sebanyak 10 hartanah telah diserahkan kepada Zariah, 10 hartanah lagi masih dalam proses di pejabat tanah dan tujuh bidang tanah lagi (semuanya di Sarawak) tidak dapat diserahkan kerana mengalami masalah teknikal.
Katanya 20 hartanah itu (yang dah diserah dan dalam proses) bernilai kira-kira RM20 juta.
Mengenai 100 peratus saham syarikat Encorp Utility Sdn Bhd, Kamar Ainiah berkata Effendi sedang bebincang dengan pemegang saham yang lain untuk menyerahkan saham secepat mungkin dan Effendi bersedia membayar tunggakkan terhadap Zariah, yang sepatutnya mendapat kira-kira RM200,000 sebulan.
Ditanya sama ada keputusan yang baik dapat dicapai selepas ini, kedua-dua peguam dalam keterangan berasingan berkata: "Mungkin dan kita tengok dalam perbicaraan akan datang."
Zariah hadir bersama beberapa anggota keluarga manakala Effendi hanya diwakili peguam.

