Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan sekerja terkejut KWSP perlu cair aset, gesa k'jaan siasat
Diterbitkan:  Nov 21, 2020 12:31 PM
Dikemaskini: 4:31 AM

Sebuah persatuan kesatuan pekerja hari ini meminta kerajaan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk menyiasat keadaan kewangan Kumpulang Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ini berlaku kerana KWSP mengatakan bahawa ia perlu menjual beberapa aset untuk membiayai pengeluaran pencarum dari Akaun 1 mereka.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC) dalam satu kenyataan mengatakan bahawa langkah itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa KWSP tidak mempunyai 'dana simpanan' (reserved fund)atau aliran tunai (cash flow).

"UNI-MLC terkejut dengan laporan media bahawa KWSP mahu menjual aset-aset bagi tujuan menampung pengeluaran wang daripada Akaun 1 dan Akaun 2, dan kami membantah sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

"UNI-MLC melihat tindakan KWSP itu sebagai satu perkara yang serius dan seolah-olah KWSP berada dalam keadaan yang terdesak dan tiada pilihan lain kecuali menjual aset bagi tujuan pembiayaan pengeluaran oleh pencarum.

"Tindakan itu juga secara tidak langsung menunjukkan KWSP tidak mempunyai reserved fund atau cash flow pada masa sekarang dan terpaksa mengambil tindakan drastik dan di luar dugaan sehingga sanggup menjual aset-aset yang dimilikinya bagi tujuan menampung pengeluaran luar biasa ketika pandemik Covid-19 sekarang," kata presiden UNI-MLC Mohamed Shafie Mammal.

Selasa lalu, dilaporkan bahawa KWSP akan menjual aset untuk menyediakan dana kepada pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 dan Akaun 2 mereka.

Dalam RUU Perbekalan 2021 yang dibentangkan di parlimen pada 6 November, kerajaan mengusulkan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP, yang ditujukan hanya untuk pencarum yang mengalami masalah kewangan.

Di bawah skim i-Lestari KWSP sebelum ini, pencarum boleh mengeluarkan RM500 sebulan hingga RM6,000 dari Akaun 2 mereka.

Skim i-Sinar pula membolehkan mereka yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji, atau tidak mempunyai sumber pendapatan lain untuk mengeluarkan sehingga 10 peratus simpanan Akaun 1 mereka, selagi mereka menyimpan minimum RM100 di akaun mereka .

"UNI-MLC berpendapat dengan menjual aset yang sedia ada telah menimbulkan persoalan di manakah perginya caruman-caruman selama ini? Adakah KWSP berada dalam keadaan tenat?

"Jika KWSP tidak mempunyai dana yang mencukupi dan terpaksa menjual asetnya, maka UNI-MLC mengesyaki KWSP berhadapan dengan masalah kecairan simpanan.

"Justeru itu, UNI-MLC menggesa kerajaan agar menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bebas dengan segera untuk menyiasat kedudukan kewangan dan dana KWSP, dan membentangkan laporan menyeluruh mengenai simpanan dalam KWSP demi menjaga kepentingan para pencarum yang merupakan kalangan pekerja," kata Shafie lagi.

Lihat Komen
ADS