Malaysiakini
BERITA

Royal Pahang Durian nafi hadapi masalah kewangan

Diterbitkan

Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd (RPDR-PKPP) menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa syarikat itu sedang mengalami masalah kewangan.

Pengerusinya, Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah semasa membua penafian keras itu juga memaklumkan satu laporan polis dibuat berhubung perkara berkenaan.

“Saya berasa gusar dengan penularan khabar angin melalui platform mesej sosial baru-baru ini yang menyatakan bahawa RPD Group sedang mengalami masalah kewangan dan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemegang saham.

“Dengan ini, saya menafikan sekeras-kerasnya penyataan ini dan ia merupakan khabar angin dan tidak benar sama sekali.

“RPD Group mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan komited dengan usaha sama yang dijalinkan dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan kerajaan Pahang demi pertumbuhan industri durian negara.

“Satu laporan polis juga telah dibuat berkaitan perkara ini.

“Bercanggah dengan dakwaan sesetengah pihak, rakan usaha sama kami iaitu PKPP, merupakan sebuah perbadanan milik kerajaan negeri dan ini menjadikan RPDR-PKPP sebuah usaha sama dengan kerajaan Pahang,” kata puteri sulung kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah itu.

Untuk rekod, RPDR-PKPP ialah syarikat yang baru-baru ini terlibat dengan perselisihan dengan sekumpulan pekebun durian di Raub, Pahang.

Perselisihan itu bermula apabila RPDR dan PKPP mengadakan usaha sama dan menuntut kembali ribuan ekar tanah daripada petani yang dikatakan meneroka tanah secara haram.

Kenyataan Tengku Puteri Iman itu bagaimanapun tidak menyatakan mesej asal yang mengandungi dakwaan yang dimaksudkan, atau menyebut platform mesej sosial manakah yang digunakan untuk menularkannya.

Katanya, keraguan terhadap pengurusan RPDR tidak sepatutnya timbul, berdasarkan prestasi pengurusan ladang durian yang ditunjukkan syarikat itu sejak 2017.

“Sebagai tambahan, kilang pemprosesan durian kami akan dibina mengikut peraturan pihak berkuasa tempatan dengan perancangan yang sempurna serta mematuhi piawaian HACCP (Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal) yang diterima secara global.

“Pihak kami sedang dalam proses mendapatkan kelulusan yang berkaitan dan kerja pembinaan akan dimulakan sebaik mendapat kelulusan.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya mempunyai keyakinan penuh pihak pengurusan kami akan sentiasa menjalankan tugas mereka secara profesional,” tambahnya lagi.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan