Malaysiakini
BERITA

Suami pengasuh disyaki cabul kanak-kanak 9 tahun, ditangkap bapa saudara mangsa

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Nov 2020, 10:31 pagi

Polis telah menahan seorang lelaki berusia 45 tahun kerana disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt. Ku Mashariman Ku Mahmood, suspek adalah suami kepada pengasuh mangsa dan ditangkap serta diserahkan kepada polis oleh bapa saudara kanak-kanak itu.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari pada 3 Nov lalu, apabila suspek datang ke rumah mangsa dengan alasan memulangkan pelitup muka milik mangsa.

"Di dalam rumah, suspek memanggil mangsa untuk duduk bersebelahan lalu mencabulnya.

"Mangsa menjerit berkali-kali dan suspek terus melarikan diri. Selepas itu mangsa menghubungi ibu saudaranya (pengadu) untuk memberitahu kejadian itu," katanya dalam kenyataan.

Menurut Ku Mashariman, pada 20 Nov, iaitu 17 hari selepas kejadian, ibu saudara mangsa dan suaminya terserempak dengan suspek ketika pulang dari kerja.

"Suami pengadu memanggil suspek tetapi dia cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan antara mereka.

"Akhirnya suspek dibawa ke balai polis Petaling Jaya dan ditangkap polis untuk siasatan," katanya lagi.

Lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari dan disasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang membaa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada laporan polis berkenaan kejadian itu dibuat sebelum suspek ditangkap.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan