Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata ada pihak-pihak tertentu yang bersikap seperti "iblis" yang cuba mengganggu usaha membangunkan negara kerana "iblis" merasakan ia lebih pandai daripada orang lain.

"Adam dihidupkan dan malaikat menerima Adam untuk menjadi khalifah. Dan yang menentang adalah iblis. Allah telah tunjukkan bahawa Adam itu lebih bijak daripada iblis.

"Jadi, asas utama Allah memilih Adam sebagai khalifah ialah kerana kepandaiannya," katanya ketika berucap di majlis perjumpaan dengan anggota-anggota perkhidmatan awam Pahang yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuantan hari ini.

Menurut laporan Bernama, Abdullah juga mengulangi kesediaannya untuk ditegur pada bila-bila masa asalkan teguran itu ikhlas dan bertujuan memberi kebaikan kepada rakyat.

"Saya bukan orang pandai, terbijak. Ada orang lain yang lebih pandai tapi saya Perdana Menteri dan bukan menjadi satu kesalahan saya mengambil masa untuk mengambil pandangan ramai untuk memberikan pandangan yang terbaik," katanya.

Menurutnya, pandangan daripada pemikiran yang ramai bagi sesuatu keputusan lebih baik daripada pandangan seorang individu sahaja.

"Kadangkala keputusan yang dilakukan secara bersendirian itu mungkin berlaku kesilapan," kata Abdullah sambil memberi contoh mengenai fatwa bahawa pandangan seorang ulama boleh dipertikaikan berbanding fatwa yang dihasilkan daripada perbincangan ramai ulama.

Sambil merujuk kepada mesyuarat jemaah menteri semalam, Perdana Menteri berkata beliau memberi peluang kepada semua menteri kabinet memberi pendapat kepada setiap perkara yang dibincangkan.

"Semalam, saya mempengerusikan mesyuarat jemaah menteri, membincangkan tentang bajet untuk tahun depan. Sekarang ini, menteri-menteri kita banyak bercakap, tak macam dulu," katanya.

Ikhlas dan ehsan

Perdana Menteri turut menggariskan empat faktor yang perlu dipatuhi semua pemimpin, pentadbir dan anggota perkhidmatan awam dalam melaksanakan tanggungjawab mereka iaitu mereka mestilah mempunyai sifat ehsan dan penyayang, beramanah, adil dan saksama serta keikhlasan dalam menunaikan tugas.

Dalam ucapannya, beliau berulang kali menekankan berkenaan dengan aspek keikhlasan dalam semua aspek termasuk dalam pelaksanaan projek pembangunan dan misi nasional.

Abdullah juga berkata kerajaan bergantung 100 peratus kepada anggota perkhidmatan awam dalam menjayakan projek-projek dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

Pada satu acara lain sempena lawatan dua harinya ke Pahang bermula hari ini, Perdana Menteri juga menasihati rakyat agar mengamalkan sikap tegur-menegur dan memberi pandangan untuk terus memperbaiki diri agar perpaduan, muafakat dan kerjasama antara rakyat tidak rosak.

"Jangan sesekali amalkan pendekatan yang boleh merosakkan perpaduan iaitu pendekatan yang menyusahkan muafakat dan kerjasama. Ini pantang dan jangan dilakukan.

"Wujudkan amalan tegur-menegur dalam amalan kita bermuhasabah secara kumpulan dan beri pandangan untuk kita perbaiki lagi apa yang kita usahakan. Itu adalah penting untuk kita baiki muafakat dan kerjasama bagi menguatkan perpaduan," katanya ketika berucap kepada kira-kira 10,000 orang ramai di Stadium Tertutup Sukpa di Kuantan.

Mengambil contoh kezaliman yang berlaku terhadap penduduk Lebanon, Abdullah berkata rakyat mesti bersedia menghadapi apa saja cabaran yang datang berbekalkan kekuatan dan keazaman.

"Kita tidak akan benarkan sesiapa pun mengancam kita kerana kita ada tugas yang amat besar di depan kita yang perlukan kekuatan dan perhatian sepenuhnya," katanya.

Ketibaan beliau di Sukpa disambut 10,000 orang yang menunggu sejak awal pagi. Mereka membawa sepanduk-sepanduk yang mempunyai tulisan seperti 'Kami Sokong Pak Lah', 'BN Pahang Tetap Setia Bersama Pak Lah', 'Hidup Pak Lah', 'Pak Lah Kami Sokong' dan 'Pejuang Islam Hadhari dan Modal Insan'.