Operasi Lalang: Kit Siang bidas Dr M kerana salahkan polis
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana cuba 'mencuci tangan' berhubung Operasi Lalang tahun 1987.
Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana cuba 'mencuci tangan' berhubung Operasi Lalang tahun 1987.
Lim berkata, Dr Mahathir tidak patut menyalahkan polis sebagai pihak yang bertanggungjawab menjalankan operasi tersebut.
"Dr Mahathir sahaja mempertahankan tindakan polis menahan 106 orang di bawah seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam operasi tersebut, malah telah menggunakan kuasanya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu untuk menahan 49 daripada tahanan berkenaan selama dua tahun di bawah akta tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Lim, Dr Mahathir nampaknya bukan sahaja mengalami 'ingatan berpilih-pilih' malahan mengidap penyakit 'rosak ingatan'.
Beliau yang juga Pengerusi DAP berkata demikian bagi mengulas ucapan Dr Mahathir di satu majlis di Putrajaya semalam yang antara lain, beliau mempertahankan rekod hak asasi manusia dengan mendakwa sepanjang pemerintahannya tiada seorang pun ditahan di bawah ISA atas sebab-sebab politik.
"Berhubung Operasi Lalang, saya telah memberitahu Lim Kit Siang bahawa dia tidak akan ditahan. Bagaimanapun selepas itu polis telah menahannya...saya tiada kuasa untuk menghalang polis daripada menahan beliau (Lim)..."
Minta maaf
"Ketika itu mereka memainkan sentimen perkauman Cina, sebab itulah mereka ditahan. Mereka tidak ditahan atas sebab politik, saya tidak menahan tokoh pembangkang dan pemimpin di bawah ISA, sebaliknya saya membebaskan merteka..." kata Dr Mahathir
Dalam Operasi Lalang itu Lim bersama enam ahli Parlimen DAP lain telah ditahan bersama para pemimpin PAS dan badan bukan kerajaan, manakala dua buah akhbar ditutup kerana didakwa mengapi-api sentimen perkauman.
Lim mahu Dr Mahathir meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana menjadi dalang dalam Operasi Lalang.
Ketua Pembangkang itu juga menyifatkan Operasi Lalang sebagai titik paling hitam dalam sejarah hak asasi negara ini.
Sehubungan itu, Lim berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengulangi sejarah hitam yang telah dilakukan oleh Dr Mahathir itu.
Katanya, dalam keadaan Abdullah diasak oleh pelbagai kritikan Dr Mahathir kebelakangan ini, orang ramai mula tertanya-tanya adakan Operasi Lalang kedua akan dilakukan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.