Pemimpin Umno Shah Alam letak jawatan
Tiga pemimpin utama Umno bahagian Shah Alam bertindak meletakkan jawatan kelmarin kerana tidak bersetuju dengan keputusan pengurusan Umno bahagian berhubung pelantikan ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Tiga pemimpin utama Umno bahagian Shah Alam bertindak meletakkan jawatan kelmarin kerana tidak bersetuju dengan keputusan pengurusan Umno bahagian berhubung pelantikan ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Mereka ialah Setiausaha bahagian Shamsudin Hashim, Ketua Penerangan Mat Taib Mat dan Bendahari Datuk Manan Md Said.
Mereka bertindak demikian setelah Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Salamon Selamat mengumumkan cadangan menamakan Sharin Ahmad, seorang ahli jawatankuasa bahagian itu, sebagai ahli majlis MBSA yang baru bagi menggantikan Jumaeah Masdi, kini Ketua Puteri Umno Shah Alam dalam mesyuarat khas Umno bahagian itu kelmarin.
Menurut laporan Bernama, cadangan tersebut dikatakan tidak dipersetujui oleh beberapa ahli Umno, termasuk tiga pemimpin berkenaan kerana pencalonan Sharin itu lebih cenderung dilihat berunsur kepentingan peribadi atau individu dan ia juga menggunakan kuota Puteri Umno.
Sharin ialah pegawai khas kepada exco kerajaan negeri Selangor yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik (ADUN) Datuk Ahmad M. Zin.
"Kami letak jawatan kerana prinsip. Kami tegas dalam soal prinsip," kata Manan yang mengesahkan peletakan jawatan beliau dan rakannya ketika dihubungi semalam.
"Apabila keputusan lebih memihak kepada individu, jadi kami rasa tiada gunanya lagi kami untuk memberi pendapat," katanya.
Peletakan diterima
Manan berkata peletakan jawatan beliau dan rakannya telah diterima Salamon yang juga telah mendapat pengganti.
Setiausaha bahagian kini disandang Badaruddin Othman, Ketua Penerangan baru Kamaruddin Ahmad dan Bendahari bahagian yang baru ialah Mat Ripen Mat Elah.
Ditanya sama ada beliau menyesal kerana meletak jawatan, Manan berkata perkara itu tidak timbul kerana terdapat cara lain untuk menyumbang dalam Umno walaupun tidak memegang jawatan.
"Saya masih sokong Umno dan akan terus menyumbang pada Umno," katanya.
Ditanya siapakan layak menggantikan tempat Jamaeah sebagai anggota majlis, Manan berkata secara peribadi ia harus diberikan kepada anggota Puteri Umno juga.
"Eloknya biarlah Puteri yang dapat sebab ia merupakan satu pergerakan yang penting. Tambahan lagi kuota terhad," katanya.

