China lancar Chang'e-5 ke bulan
Diterbitkan: Nov 24, 2020 2:02 PM
Buat pertama kalinya, China melancarkan prob penyelidikan angkasa lepasnya bagi misi mengumpul dan membawa pulang sampel dari bulan.
Chang'e-5 dilancarkan dengan roket pembawa Long March-5 dari tapak pelancaran Wenchang di wilayah Hainan pada 4.30 pagi Selasa.
Menurut laporan, prob itu berjaya memasuki orbit yang disasarkan kira-kira 2,200 saat selepas pelancaran.
Selepas mendarat di bulan, Chang'e-5 akan menjalankan tugas memperoleh data untuk penyelidikan selanjutnya.
Antara objektif misi eksplorasi kali ini termasuk mengkaji keadaan topografi dan geologi di sekitar lokasi pendaratan, selain melaksanakan penyelidikan makmal secara sistematik terhadap sampel yang dikutip dari bulan.
- Bernama

