Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rekod baru 2,188 kes, 1,623 di Selangor, 112 di ICU
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 6:19 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini merekodkan jumlah kes harian tertinggi baru pada 2,188 sejak pandemik itu menular ke negara ini, berbanding 1,884 kes yang dicatatakan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor merekodkan angka tertinggi pada 1,623 kes dengan sebahagian besarnya melibatkan kluster Teratai iaitu 1,511 kes.

Sebelum ini, jumlah kes harian tertinggi ialah 1,755 kes yang dicatatkan pada 6 Nov lalu.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 58,847 kes.

Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 14,353 kes.

“Tiada kes import yang dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pula sebanyak 1,673 kes, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh sepenuhnya ialah 44,153 kes atau 75 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dia turut melaporkan empat kematian baru menjadikan jumlah keseluruhan yang maut akibat Covid-19 kini 341 kes.

Sementara itu, Noor Hisham berkata pada masa ini terdapat 112 kes positif yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 49 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Sehingga 24 November, terdapat sebanyak 334 kluster telah dilaporkan. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 167 kluster dengan satu kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Bah Layangan.

"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 36 kluster melaporkan pertambahan kes.

"Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah kluster Teratai (1,511 kes), kluster Tembok (103 kes), dan kluster Bintang (69 kes)," katanya.

Kluster Teratai adalah berkaitan kilang-kilang di sekitar Kapar, Klang termasuk  kilang Top Glove yang telah diarahkan ditutup secara berperingkat bagi membolehkan semua pekerjanya menjalani ujian saringan dan kuarantin.

Berikut pecahan kes baru mengikut negeri: -

Selangor (1,623 kes), Sabah (232), Perak (112), Kuala Lumpur (90), Negeri Sembilan (73), Johor (19), Pulau Pinang (15), Kedah (14), Kelantan (6), Melaka (2), Labuan (1) dan Sarawak (1).

Negeri-negeri lain tiada.

Berikut status terkini Covid-19 di Malaysia:

Jumlah sembuh baru: 1,673

Jumlah kumulatif: 44,153 (75%)

Jumlah kes baru: 2,188

Jumlah kumulatif: 58,847

Jumlah kes aktif: 14,353

Kes tempatan: 2,188

Kes import: 0

Jumlah kematian: 4 (3 warga negara, 1bukan warga negara)

Jumlah kumulatif: 341 (0.6%)

Kes di ICU: 112

Pesakit intubated: 49

 

Lihat Komen
ADS