Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Top Glove tutup sementara 16 kilang
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 10:25 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Top Glove Corporation Bhd menutup sementara operasi 16 daripada 28 kilangnya di Klang, Selangor sejak 17 November lalu.

Penutupan itu dibuat pada hari sama kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan.

Dalam satu kenyataan petang tadi, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia itu berjanji akan membantu mengekang wabak yang menular di kalangan pekerjanya.

Ini selepas kerajaan mengarahkan syarikat itu menutup semua 28 kilangnya di Klang secara berperingkat setelah 1,067 pekerjanya diuji positif Covid-19 semalam.

Kluster Teratai yang dikaitkan dengan Top Glove menyaksikan 1,511 kes baru hari ini, menjadikan Selangor negeri dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi.

"Top Glove ingin meyakinkan pihak berkepentingan bahawa kami komited untuk melakukan peranan kami bagi membantu mencegah penyebaran Covid-19 di samping menyokong keperluan pelanggan, pekerja, rakan niaga dan komuniti.

"Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan berhubung kilang kami di Meru, Klang dan juga melakukan ujian saringan terhadap tenaga kerja di kilang kami di sana," kata pembuat sarung tangan itu.

Selain menghentikan sementara pengeluaran di 16 kilang di Meru, syarikat itu berkata 12 lagi kilangnya beroperasi dengan kapasiti yang jauh lebih rendah.

"Kami menjangkakan kelewatan dalam beberapa penghantaran sekitar dua hingga empat minggu dan juga jangka masa yang lebih lama untuk pesanan," katanya.

Top Glove menjaka ia akan memberi kesan tiga peratus terhadap jualan tahunan bagi tahun kewangan 2021.

Syarikat itu juga mahu meminimumkan impak kepada pelanggannya dengan menghantar pesanan jualan ke kilang-kilang yang tidak terjejas dan menjadualkan semula penghantaran.

"Kami ingin menyatakan kepada pelanggan bahawa kami bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang tempoh ini untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan berterusan pekerja dan masyarakat setempat, yang tetap menjadi keutamaan kami," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS