Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah tetapkan 12 Jan dengar semakan kehakiman isu Jawi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 21 Januari depan untuk mendengar semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan untuk mewajibkan pembelajaran Jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Perkara itu dimaklumkan peguam Keshvinjeet Singh Sidhu hari ini.

Tindakan mahkamah itu berhubung keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mewajibkan pembelajaran Jawi dalam mata pelajaran bahasa Malaysia bagi murid tahun empat di sekolah vernakular.

Keshvinjeet bertindak bagi pihak dua pemohon semakan tersebut, R Visa Letchumy, Persatuan Hindu Amamam Ani Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Cina.

Dokumen mahkamah menyenaraikan Tan Kim Sen @ Tan Boon Tak dan D Ravi, sebagai presiden dan pengerusi dua persatuan itu.

"Pada mulanya mahkamah menetapkan tarikh lebih awal (tahun) ini untuk mendengarnya, tetapi ia ditangguhkan susulan perintah kawalan pergerakan.

"Mahkamah kemudian menetapkan 21 Januari depan untuk mendengar permohonan semakan kehakiman, katanya kepada Malaysiakini.

Pemeriksaan dalam talian menunjukkan permohonan itu akan didengar di depan hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid.

Pada 22 Mei, portal Free Malaysia Today melaporkan tiga pihak tersebut memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan kerajaan itu.

Visa Letchumy, Tan dan Ravi turut memohon pembelajaran ditangguhkan sementara menunggu keputusan mahkamah.

Menutu laporan, keputusan untuk memperkenalkan pembelajaran itu dibuat ketika pentadbiran PH.

Bagaimanapun, susulan bantahan sejumlah pihak, kerajaan pada Ogos tahun lalu antara lain mengumumkan ia tidak lagi wajib dan bergantung kepada murid, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

[Baca berita asal]

ADS