Biden perkenal pilihannya untuk anggotai kabinet
GLOBAL l Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Selasa memperkenalkan calon dan lantikan Kabinetnya serta menyuarakan kesediaannya berhadapan lawan (musuh) negara dan tidak menolak sekutu, lapor Agensi Anadolu.
"Ia satu pasukan yang akan memastikan keselamatan dan keamanan negara serta rakyat kita dan ini adalah pasukan yang mencerminkan bahawa Amerika telah kembali - bersedia memimpin dunia, tidak akan berundur daripadanya," kata Biden pada taklimat media di Wilmington, Delaware.
Beberapa calon dan lantikan utama sudah diumum, sebahagian yang lain menyusul pada Isnin.
Antaranya Antony Blinken sebagai Setiausaha Negara, Alejandro Mayorkas yang akan mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Linda Thomas-Greenfield sebagai Duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Avril Haines dicalonkan Pengarah Perisikan Negara dan John Kerry Utusan Khas Presiden untuk perubahan iklim.
"Mereka mengukuhkan kepercayaan saya bahawa Amerika berada dalam keadaan paling kuat apabila bekerjasama dengan sekutunya," kata Biden mengulas mengenai calon yang menjadi tulang belakangnya.
Sementara itu, Blinken berkata jika AS bertindak bersendirian, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah dunia.
"Kita perlu bekerjasama dengan negara lain. Kita memerlukan kerjasama dan perkongsian dengan mereka," katanya.
Mayorkas, keturunan Cuba-Amerika dan Latin pertama dilantik mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, mengucapkan terima kasih kepada Biden dan bakal Naib Presiden Kamala Harris berikutan pencalonan itu.
Katanya, agensi itu mempunyai "misi mulia" untuk melindungi rakyat Amerika dan amat berbesar hati untuk merealisasikan "harapan terbesar” negara itu.
"Beliau memilih kami bukan untuk berkhidmat kepadanya, tetapi untuk berkhidmat kepada rakyat Amerika, untuk membantu meningkatkan keselamatan, kemakmuran, nilai-nilai kami," kata Haines, wanita pertama mengetuai bahagian perisikan.
Mengulas pelantikan John Kerry, Biden berkata: "Buat julung kalinya akan ada ketua di majlis keselamatan negara yang akan memastikan isu perubahan iklim menjadi antara agenda penting."
Kerry berkata untuk mengakhiri krisis perubahan iklim, "seluruh dunia harus bersatu ... Semua negara mesti menjulang cita-cita bersama, atau kita semua akan sama-sama gagal. Dan kegagalan bukanlah menjadi pilihan."
Pengumuman itu dibuat setelah Presiden Donald Trump pada Isnin meminta pasukannya untuk memulakan "protokol awal" bagi proses peralihan pentadbiran kepada Biden.
Semua calon Kabinet perlu mendapat kelulusan Senat sebelum menjalankan tanggungjawab masing-masing.
- Bernama

