Kes tuntutan harta sepencarian antara bakal suami penyanyi Siti Nurhaliza, Datuk Mohamed Khalid Jiwa atau Datuk K dan bekas isterinya, Tengku Zawyah Tengku Izham selesai setelah Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan membenarkan perjanjian bersama yang ditandatangani mereka dikuatkuasakan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie Zulkifli Che Yong yang mewakili Tengku Zawyah, 43, berikutan perbicaraan berlangsung di dalam kamar.

Katanya, Hakim Syarie Hussin Ahamad memerintahkan dua unit rumah berkembar dua setengah tingkat di Kota Damansara, bernilai kira-kira RM1.8 juta mengikut harga jualan diberi hak dan kepentingan kepada Tengku Zawyah.

"Baki pinjaman rumah tersebut hendaklah dijelaskan dalam tempoh lima tahun oleh Khalid manakala rumah kelamin mereka iaitu banglo empat tingkat di Bukit Antarabangsa Hulu Klang, diisytiharkan sebagai harta sepencarian oleh kedua-dua pihak.

"Hak dan kepentingan rumah kelamin tersebut hendaklah diserahkan kepada salah seorang anak mereka (Mohamed Anas Zawawi, 19, Mohamed Adib, 16, Mohamed Asyraf, 14 dan Mohamed Aazief, 8) yang dipilih oleh Khalid apabila mereka kesemuanya mencapai umur 18 tahun. Akan tetapi Tengku Zawyah berhak terus mendiami kediaman tersebut bersama anak-anak," katanya kepada pemberita.

Menurut laporan Bernama, Zulkifli berkata mahkamah juga membenarkan peruntukan tambahan bagi Tengku Zawyah iaitu Khalid hendaklah secara sulh menyediakan peruntukan tambahan seperti kos percutian tahunan, sara hidup bulanan, insurans, perubatan dan bil-bil serta kos penyelenggaraan dan keperluan rumah.

"Mutaah telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak tetapi jumlah tersebut tidak dinyatakan di dalam mahkamah," katanya.

Sementara itu, peguam syarie Datuk Mohamed Burok yang mewakili Khalid, 47, berkata anak guamnya mendapat dua lot tanah kosong di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, sebuah kondominium Corinthiam di Jalan Binjai, Off Jalan Ampang, sebuah kondominium Bistari, Off Jalan Putra dan sebuah premis pejabat di MidValley Development.

Peguam syarie Azmi Dr Mohd Rais, yang turut mewakili Tengku Zawyah pula berkata, kedua-dua pihak mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh perintah dikeluarkan untuk mematuhi perintah itu dan kegagalan mematuhinya boleh disabitkan dengan kesalahan menghina mahkamah.

Khalid dan Tengku Zawyah telah menandatangai perjanjian bersama dalam pembahagian harta sepencarian sepanjang perkahwinan selama 20 tahun itu pada 3 Julai lalu.

Pasangan itu bernikah di Sungai Petani, Kedah pada 24 Disember 1985 dan bercerai secara taklik pada 12 Mac 2005. Pengesahan cerai taklik dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 April, 2005.

Khalid bakal mendirikan rumahtangga bersama penyanyi terkenal Siti Nurhaliza Tarudin pada 21 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.