Malaysiakini
BERITA

Undian Belanjawan 2021 dijadual hari ini

Bernama

Diterbitkan
Dikemaskini 26 Nov 2020, 12:25 pagi

Pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar yang dijadual selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sekiranya masa mengizinkan, undian Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan dijalankan sejurus selepas baki sembilan menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing yang dijadual selesai hari ini.

Belanjawan 2021 merupakan belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Mac lepas.

Sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan di bawah belanjawan berkenaan untuk perbelanjaan negara tahun hadapan.

Selain itu, menurut Aturan Urusan Mesyuarat, isu kawalan sempadan antarabangsa antara yang dijangka dijawab dalam Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri susulan insiden serangan terhadap dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis, awal pagi Selasa.

Insiden itu yang mengorbankan Sarjan Baharuddin Ramli, 54, manakala Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah, akan turut diperincikan pada sesi tersebut.

Isu salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan perkembangan mengenai pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 turut bakal disentuh oleh Ahli-Ahli Parlimen hari ini.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.