Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencarum berdepan pengurangan pendapatan boleh buat pengeluaran akaun 1 KWSP
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 2:57 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

PARLIMEN | Pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Wang Pekerja (KWSP) diperluaskan kepada pencarum yang mengalami penurunan pendapatan pada tahun ini.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kini pencarum yang berdepan pemotongnan gaji, atau tidak dapat mencari pendapatan tambahan menerusi kerja lebih masa turut boleh memohon.

Mereka yang bukan lagi pencarum aktif atau bekerja di sektor tidak rasmi yang terkesan turut dibolehkan membuat pengeluaran.

Pencarum yang sebelum ini boleh membuat pengeluaran sehingga RM9,000 pula dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak RM10,000.

"Tunjuk saja bukti (anda) hilang pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT (kerja lebih masa), atau pengurangan pendapatan bagi yang bekerja sendiri," kata Zafrul di Dewan Rakyat hari ini.

Pengumuman itu disambut ketukan meja daripada sejumlah ahli Parlimen yang menyokong keputusan itu.

Terdahulu, pencarum yang layak membuat permohonan itu, menerusi program i-Sinar, adalah mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

Bagaimanapun, beberapa pihak, termasuk Umno, mendesak kerajaan agar meluaskan pengeluaran akaun 1 kepada semua pencarum.

Berkenaan moratorium pinjaman bank pula, kerajaan mengekalkan keputusan sebelum ini dan tidak menuruti desakan agar lanjutan moratorium diberi secara automatik kepada semua peminjam.

Tambahan bantuan lain

Bantuan tambahan lain yang diumumkan termasuk RM300 secara sekali beri kepada semua petugas barisan depan Covid-19, serta tambahan RM500 untuk kakitangan Kementerian Kesihatan.

Tengku Zafrul berkata, permohonan agar bantuan sekali beri diluaskan kepada polis, pegawai imigresen, pegawai Rela dan petugas barisan depan lain dibangkitkan sejumlah ahli Parlimen ketika perbahasan.

Sementara itu, dia berkata kerajaan turut memperuntukkan tambahan RM50 juta untuk Sabah, susulan peningkatan kes positif di sana.

Kebanyakan ahli Parlimen kerajaan menyokong pengumuman itu dengan Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) menyifatkannya sebagai "keputusan 7-0" apabila cadangan mereka dipenuhi.

Ahli parlimen pembangkang pula, termasuk Wong Chen (PH-Subang) bagaimanapun menggesa sikap waspada berhubung pengeluaran KWSP, dan menyatakan jangkaan aliran keluar kira-kira RM70 bilion berbanding RM20 bilion aliran masuk.

Tengku Zafrul bagaimanapun menafikan angka itu dan berkata KWSP mengunjurkan aliran masuk sebanyak RM80 bilion setahun.

Lihat Komen
ADS