Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) secara rasmi menerima tiga wakil rakyat bangsa Dayak seorang dari Snap, seorang wakil rakyat Bebas dan seorang ahli Parlimen tanpa parti menyertai parti tersebut.

Naib Presiden SPDP yang baru, Vincent Tan mengesahkan kepada malaysiakini bahawa permohonan keahlian mereka telah diluluskan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu dua minggu lalu.

Mereka adalah Dr Johnicol Rayong Ngipa yang menang atas tiket Snap di Engkilili, Gabriel Adit (kiri) menang atas calon Bebas di Ngemah, dan Jewah Gerang ahli Parlimen Lubok Antu yang tidak mempunyai parti selepas pembubaran Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS).

Rayong memberitahu malaysiakini, keputusannya untuk menyertai Barisan Nasional (BN) adalah atas kehendak pengundi di kawasannya yang mahu beliau bersama parti pemerintah.

Beliau berkata, para pengundinya merasakan BN yang mampu membawa kemajuan ke kawasan majoriti kaum Iban itu yang agak terbelakang, dibandingkan dengan kawasan pilihanraya yang lain.

Awal minggu ini, Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ketiga-tiga wakil tersebut mesti sanggup melepaskan kerusi mereka jika diterima masuk ke dalam BN.

Peruntukan projek

Salah satu sebab utama mereka memilih menyertai BN ialah kerana sebagai wakil rakyat pembangkang, mereka tidak akan mendapat manfaat daripada peruntukan kewangan tahunan bagi melaksanakan projek kecil pembangunan di kawasan luar bandar.

Projek-projek seperti bekalan janakuasa elektrik ke kampung, sistem air graviti dan pembaikan jalan kampung adalah sebahagian daripada projek-projek yang biasanya dilaksanakan di kawasan wakil rakyat BN.

Wakil rakyat pembangkang tidak memperolehi faedah seumpama itu.

Rayong berkata, beliau perlu mengutamakan kepentingan masyarakat terbesar yang merasakan pihak BN sahaja yang mampu memberi kemajuan kepada mereka.

"Setelah berfikir dengan semasak-masaknya, saya mengambil keputusan untuk menyertai BN melalui SPDP," tambahnya.

Manakala Adit dan Jewah tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai perkembangan terbaru itu.

Kini tinggal seorang lagi ahli Parlimen yang tidak mempunyai parti selepas pembubaran PBDS, iaitu Julau Joseph Salang (kiri) yang juga timbalan menteri luar.

Difahamkan beliau sedang mengikuti perkembangan tersebut dan tidak mahu tergesa-gesa membuat sebarang keputusan mengenai kedudukannya.

Teman rapat Salang berkata, ahli perniagaan Iban itu mungkin berkhidmat untuk penggal terakhirnya kecuali pucuk pimpinan BN mahu beliau meneruskan khidmatnya. Berita asal