Beribu-ribu penduduk panik apabila gempa bumi berukuran 5.5 pada Skala Richter menggegarkan Sinabang, sebuah kampung di Wilayah Simeulue, Aceh awal pagi ini.

Pusat gegaran gempa bumi yang berlaku pada kira-kira jam 3.54 pagi itu dikesan di Sinabang, kata ketua Pejabat Kaji Cuaca dan Geofizik Mata Ie (BMG) Syahnan.

Walaupun gegaran itu tidak mengakibatkan kerosakan terhadap bangunan, tetapi penduduk di kawasan berkenaan kelam-kabut meninggalkan kediaman masing-masing untuk menuju ke tempat selamat.

Menurut laporan Bernama, gegaran selama beberapa saat itu berlaku di koordinat 2.48 darjah utara garisan lintang dan 96.36 darjah utara garisan bujur pada kedalaman sekitar 20 km di bawah paras laut.

"Kami berlari keluar dari rumah dan bersiap sedia untuk ke kawasan berbukit kerana kami masih mengalami trauma tsunami yang memusnahkan Aceh pada 26 Dis 2004," kata Asparuddin, sorang penduduk tempatan yang dipetik oleh agensi berita Antara.

Gegaran itu turut dirasai di Tapaktuan, sebuah daerah di Aceh Selatan yang menyebabkan kebanyakan penduduknya terjaga dari tidur.

Indonesia, yang mempunyai lebih 17,000 pulau, terdedah kepada kejadian gempa bumi kerana terletak di zon yang dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik.

Negara ini telah dilanda gempa bumi berukuran 8.9 pada Skala Ritcher yang mengakibatkan tsunami di wilayah Aceh dan Nias, Sumatra Utara pada 2004 yang mengorbankan lebih 168,000 orang dan gempa bumi berukuran 5.9 di Yogyakarta Mei lepas yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 5,700 penduduk.