Kredibiliti bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan tergugat sekiranya beliau tidak mendedahkan nama menteri-menteri kabinet yang didakwanya rasuah, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika beliau konsisten dan jujur, beliau patut mendedahkan nama mereka," kata Anwar ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai perkara tersebut.

Rabu lalu, Dr Mahathir berkata, beliau akan mendedahkan lebih banyak bukti mengenai dakwaan bahawa kes rasuah terhadap seorang bekas menteri kabinet ditutup oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, bekas bosnya itu patut mendesak ditubuhkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat menteri kabinet yang lalu dan yang sekarang mengenai sumber kekayaan mereka jika beliau benar-benar serius untuk memerangi rasuah.

Laporan BPR terhadap Dr M

Anwar berkata, beliau juga bersedia disiasat oleh suruhanjaya tersebut, sambil menambah, Dr Mahathir juga patut berbuat demikian, ekoran banyaknya laporan BPR yang dibuat terhadap bekas Perdana Menteri itu.

"Laporan-laporan tersebut dibuat terhadap beliau (Dr Mahathir) dan menteri-menteri yang lain, mengapa beliau ketepikan fakta tersebut?" kata Anwar sambil menambah, bekas bosnya itu tidak sepatutnya menganggap rasuah seperti satu agenda politik peribadi.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi bertemu rakyat di Kuala Selangor semalam, Anwar diminta mengulas 'nasihat' bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai dua pilihan untuknya menjadi perdana menteri.

Dalam wawancara khas dengan malaysiakini, Tengku Razaleigh mendakwa, beliau telah memberitahu Anwar bahawa beliau mempunyai dua pilihan sama ada kembali semula kepada Umno atau mengetuai parti PAS.

Anwar berkata, beliau membuat kunjungan hormat terhadap Tengku Razaleigh untuk mendapat nasihatnya berhubung peranannya dalam mewujudkan kerjasama antara parti DAP dan PAS dalam Gagasan Rakyat sewaktu menghadapi pilihanraya umum 1990. Berita asal

Foto oleh Bede Hong