Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | 'K'jaan tagih populariti tiada beza dengan kleptokrat yang kita jatuhkan'

ULASAN | Apabila belanjawan diluluskan tanpa tentangan di peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, ini bermakna kerajaan sudahpun diiktiraf oleh pembangkang, kecuali 13 ahli parlimen yang berdiri menentang.

Menentang di peringkat jawatankuasa - seperti yang dikata akan dilakukan - tidak akan membawa apa-apa kesan signifikan ke atas kerajaan mahupun kepada belanjawan yang dikemukakan.

Ianya hanya usaha untuk mengalih pandangan dan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang.

Kerajaan pintu belakang pimpinan Muhyiddin Yassin bukan dipilih rakyat. Manipulasi dilakukan untuk merampas kuasa daripada kerajaan pilihan rakyat.

Tidak cukup di peringkat pusat, kerajaan Sabah yang jelas dipilih rakyat juga dirampas dengan memaksa pilihan raya negeri diadakan.

Untuk kekal berkuasa, kerajaan ini terpaksa menyogok ahli parlimen untuk mendapatkan sokongan.

Pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, kita dapati bukan sahaja parti kerajaan yang menyokong, tetapi sebahagian besar ahli parlimen pembangkang menyokong.

Ini aneh. Selama Kerajaan Muhyiddin tertubuh, pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tidak percaya di parlimen.

Tidak kurang daripada 25 usul undi tidak percaya dikemukakan. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum itu untuk menyatakan tentangan mereka.

Hanya wang dan lebih banyak wang

Tetapi ini tidak berlaku. Apabila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 ahli pembangkang yang berdiri, kurang dua daripada jumlah yang diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan kelebihan suara.

Tidak dapat tidak, kita cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula ditawarkan untuk mendapat sokongan. Jika benar bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat berbahaya kepada negara.

Segala-galanya boleh dibeli dengan duit, termasuk kerajaan.

Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuhkan kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah.

Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh merampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.

Pembangkang sanggup berkompromi dan menolak prinsip dan menggadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

Saya dan kumpulan Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) akan terus menolak belanjawan ini. Ini kerana kami tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara dalam usaha menangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19.

Tidak ada apa-apa rancangan untuk pulih dan kembangkan ekonomi serta bantu perniagaan yang terjejas teruk.

Yang ada hanya pemberian wang dan lebih banyak wang yang ditawar untuk menawan hati rakyat. Tidak dinyatakan di mana dan bagaimana kerajaan akan mendapat hasil untuk membiayai semua ini.

Kerajaan yang menagih populariti dengan sogokan untuk kekal berkuasa tidak ada beza dengan kerajaan kleptokrat yang kita jatuhkan. Mereka hanya akan menghancurkan negara ini.


DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan ahli parlimen Langkawi. Pandangannya ini dipetik Malaysiakini dari blog chedet.cc.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS