Dr M: Arahan MT Umno tidak demokratik
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata arahan Majlis Tertinggi (MT) Umno kepada ahli-ahli parti itu supaya tidak mengadakan pertemuan dengan beliau adalah tidak demokratik.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata arahan Majlis Tertinggi (MT) Umno kepada ahli-ahli parti itu supaya tidak mengadakan pertemuan dengan beliau adalah tidak demokratik.
Katanya, semasa menjadi Presiden Umno, beliau tidak pernah menghalang orang yang mahu menjatuhkannya berjumpa dan berkempen kepada ahli Umno.
"Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi ketika itu), boleh pergi ke mana-mana untuk menemui ahli Umno dan Abdullah pernah tuduh saya komunis.
"Dalam pertandingan jawatan Presiden pada 1987, ada yang kata pesawat menunggu saya untuk dibawa ke Russia jika saya kalah," katanya sewaktu berucap di majlis 'Jasa Mu dikenang' anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Petaling Jaya Utara pagi tadi.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim pun boleh bertemu dan mengumpul ahli Umno, beliau juga boleh tulis surat ketika dalam penjara untuk diedarkan kepada wartawan luar tetapi saya tidak menghalangnya," katanya lagi.
Dr Mahathir berkata, pemimpin sekarang membuat macam-macam termasuk menggunakan kuasa untuk menahan orang (daripada bercakap) dan cara ini, tegasnya, adalah tidak baik.
Beliau menegaskan, secara keseluruhannya Umno baik tetapi cuma seorang dua pemimpinnya yang membuat salah.
'Saya seorang sahaja'
Katanya, beliau setia kepada Umno dan bukannya mahu menghancurkan parti yang banyak berjasa kepada orang Melayu, agama Islam dan negara itu.
"Tetapi perjuangan Umno bukanlah untuk mendokong kepimpinan tertentu. Umno bukan untuk Datuk Onn Jaafar, bukan untuk Tunku Abdul Rahman, Tun Razak (Hussein), Tun Hussein dan untuk Tun Dr Mahathir.
"Kaji balik perjuangan Umno, adakah untuk orang tertentu. Jawabannya tidak, sebaliknya untuk orang Melayu, agama Islam dan negara Malaysia," katanya lagi.
Bekas Presiden Umno itu juga berkata, Umno tidak akan kalah dalam pilihanraya disebabkan oleh krisis dalaman atau kerana bercakap benar.
Katanya, jika ahli Umno mendengar hanya sebelah pihak, bolehkah mereka menjatuhkan hukuman dan membuat keputusan.
"Kenapa pemimpin Umno begitu takut untuk membenar ahli Umno bertemu dan mendengar penjelasan saya? Mereka beratus-ratus, mempunyai kuasa, menguasai akhbar dan televisyen.
"Saya seorang sahaja, tidak berkuasa, tidak punyai media sendiri. Media bebas (tulis) apa yang saya kata. Apa nak takut," katanya.
Jadi dalang
Dr Mahathir berkata, kenapa sekarang ahli Umno hanya boleh dengar satu pihak sahaja dan bertanya apakah ia percubaan untuk memperbodohkan Umno.
Tun Dr Mahathir juga menjelaskan beliau tidak dipengaruhi oleh sesiapa dalam isu mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Susah sikit orang nak pengaruhi saya kerana teks ucapan saya tulis sendiri. Mereka baca teks yang ditulis oleh penulis ucapan, adakah ini dia yang cakap atau penulis berkenaan ," katanya.
Beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mendakwa bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas,Datuk Ibrahim Ali dan bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Matthias Chang sebagai dalang yang mengeruhkan lagi hubungan antara bekas Perdana Menteri itu dengan Abdullah.
Khairy dilaporkan berkata demikian ketika bercakap kepada wartawan selepas merasmikan mesyuarat Pemuda Umno bahagian Baling.
Dalam ucapannya sebelum itu, Khairy dilaporkan berkata Pemuda Umno percaya Dr Mahathir ikhlas dalam mengajukan beberapa soalan kepada kerajaan berhubung beberapa projek dan dasar.
Bagaimanapun, katanya, ada anasir yang cuba mengambil kesempatan daripada keadaan itu untuk mengeruhkan suasana dan beliau menamakan dua orang yang didakwanya sebagai dalang.

