Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketika 'luka masih berdarah' Muhyiddin ajak Umno, Bersatu terima takdir

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini secara terbuka mengakui hubungan parti itu dengan Umno masih tidak akrab dan tidak mesra.

Katanya ia seumpama luka lama yang masih berdarah gara-gara sejarah lampau yang menyaksikan Bersatu lahir daripada perpecahan dalam Umno.

Namun, dalam keadaan demikian pun, perdana menteri kelapan itu meminta agar kedua-dua parti menerima takdir tuhan yang akhirnya mempertaut mereka dalam kerajaan yang sama.

Menurut Muhyiddin sebelum ini dia dinasihatkan untuk tidak banyak bercakap isu politik kerana penularan Covid-19 dan kemelut ekonomi tetapi sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, ahli parlimen Pagoh itu mahu berterus-terang.

Akuinya, sebahagian besar ahli Bersatu - termasuk dirinya sendiri - merupakan bekas ahli Umno dan kedua-dua parti terbabit bertembung dalam dalam pilihan raya umum (PRU).

“Jadi, mungkin luka masih berdarah; parut masih berbekas,” katanya dalam ucapan dasar perhimpunan kali ketiga yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.

Ekoran krisis politik yang berlaku awal tahun ini, tambah Muhyiddin, tidak semena-mena takdir Allah mempertaut semula Bersatu dan Umno dalam satu saf politik yang sama.

"Cuba kita renungkan, fikir dalam-dalam. Adakah takdir Allah SWT yang mempertautkan Bersatu dan Umno - termasuk juga PAS - dalam satu saf politik ini berlaku begitu sahaja tanpa ada apa-apa hikmah di sebaliknya? Tidakkah kita terfikir bahawa Allah SWT sebenarnya sedang menguji kita?” katanya.

Bincang hati ke hati

Tambah Muhyiddin, dia percaya di sebalik suasana itu tersembunyi hikmah dan kebaikan dalam bentuk peluang menyatukan Melayu dan Islam yang mengalami perpecahan sejak sekian lama.

Katanya, sudah sampai semua pemimpin Melayu mengetepikan perbezaan politik dan mengukuhkan hubungan sesama mereka demi kestabilan bangsa.

Untuk rekod Bersatu ditubuhkan menjelang PRU lalu oleh beberapa bekas pemimpin kanan Umno. Muhyiddin dilantik sebagai presiden manakala Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai pengerusi.

Selepas PH mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada 2018 Mahathir dilantik sebagai perdana menteri, dan selepas itu, terdapat lagi ahli-ahli Umno yang melompat parti menyertai Bersatu.

Bagaimanapun susulan Langkah Sheraton hujung Feb lalu, pertikaian dalaman menyaksikan Mahathir tersingkir dan sehingga kini jawatan pengerusi dipangku Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, dia mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno merangkap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi beberapa hari lalu berhubung hubungan kedua-dua parti.

Katanya mereka berdua bersetuju sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan keakraban hubungan parti masing-masing.

“Kami berbincang dari hati ke hati, bercakap secara terus terang. Kami sedar hubungan antara Bersatu dan Umno mesti diperbaiki.

“Usaha-usaha mesti dibuat untuk mewujudkan keakraban antara Bersatu dan Umno dari peringkat kepimpinan tertinggi hinggalah ke bahagian dan cawangan.

“Saya tahu usaha ini bukanlah mudah. Tetapi saya yakin inilah jalan yang terbaik,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS