Komitmen Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk memulakan rundingan mengenai petroleum dan gas di Sabah dijangka akan menghidangkan limpahan ekonomi kepada rakyat negeri itu, kata ketua penerangan Sabah Bersatu, Khairul Firdaus Akbar.

"Bersatu Sabah yakin dan percaya, bahawa kenyataan perdana menteri ini bukanlah retorik, tetapi merupakan satu gerakan yang cukup signifikan di dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu sendiri.

"Apa jua yang bakal dimeterai di dalam rundingan itu nanti, pastinya ia akan memberikan impak positif berskala besar dalam melonjakkan lagi industri petroleum dan gas di negeri Sabah.

"Hakikatnya, rakyat Sabah sudah lama menantikan agar perkara ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin demi memelihara kepentingan rakyat Sabah keseluruhannya," kata Khairul dalam satu kenyataan itu.

Selain itu, katanya, Bersatu Sabah turut mengagumi kesungguhan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dalam memperjuangkan isu itu ketika Perhimpunan Agung Tahunan kali ke-3 parti itu.

"Dalam ucapan penggulungan, perdana menteri merangkap Presiden Bersatu secara terbuka berikrar akan melaksanakan perkara tersebut sesegera yang mungkin untuk kebaikan rakyat Sabah dan sebagai tanda terima kasih di atas sokongan kepada Perikatan Nasional pada Pilihan raya Negeri Sabah Ke-15 baru-baru ini.

"Dengan ikrar tersebut, ia jelas menggambarkan hubungan akrab di antara kerajaan Negeri di bawah payung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kerajaan pusat.

"Dengan wujudnya keadaan sebegini, pastinya mampu mewujudkan iklim baik dari segenap sudut demi kemajuan negeri Sabah supaya dapat direalisasikan di bawah kepimpinan era baru secepat yang mungkin," katanya.