mk-logo
Berita
Bersatu lebar sayap baru - ahli bersekutu untuk bukan Melayu
Diterbitkan:  Nov 29, 2020 4:31 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Bersatu akan memperkasakan anggota bukan Bumiputera dan bukan Melayu, yang dikenali sebagai ahli bersekutu, dengan mewujudkan sayap parti untuk mereka.

Ini berlaku selepas perwakilan perhimpunan agung Bersatu yang ketiga kelmarin sebulat suara bersetuju meminda perlembagaan parti untuk membentuk sayap parti bagi ahli bersekutu.

Cadangan mengenai pindaan perlembagaan itu dikemukakan oleh jawatankuasa pindaan perlembagaan, kata Setiausaha Agung parti itu, Hamzah Zainudin dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini termasuklah pindaan perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baru ahli bersekutu.

“Pindaan perlembagaan tersebut bakal mengukuhkan lagi struktur organisasi dan kekuatan akar umbi Bersatu di semua peringkat, selain membuktikan keterbukaan dan keterangkuman parti meliputi aspek keahlian mahupun dasar parti,” katanya.

Usul itu disuarakan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang berkata parti itu akan mewujudkan sayap baru untuk ahli bersekutu yang membolehkan mereka dapat memegang jawatan kepemimpinan dan menyumbangkan idea.

Pada bulan Ogos, bekas ahli PKR dan MP Segamat Edmund Santhara Kumar menjadi ahli parlimen bukan bumiputera pertama yang menyertai Bersatu.

Sementara itu, Hamzah berkata 502 perwakilan dari semua peringkat telah menyertai perhimpunan agung tahunan Bersatu semalam.

Menurut Hamzah lagi keahlian Bersatu meningkat kepada 508,725 berbanding 222,980 anggota tahun lalu.

Lihat Komen
ADS