Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kluster Hilir dari HUSM catat 21 kes positif - Hampir 1,000 jalani saringan

Perkembangan kes Covid-19 di Kelantan hari ini menyaksikan satu lagi kluster baru diisytiharkan sebagai kluster Hilir.

Sumber memberitahu Malaysiakini, kluster itu melibatkan penularan wabak tersebut dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Hampir 1,000 kakitangan kesihatan HUSM menjalani saringan dan kemudian dikuarantin setelah beberapa orang diuji positif untuk Covid-19, menurut sumber di hospital.

Semalam, Malaysiakini melaporkan penularan wabak itu telah menjejaskan operasi hospital separa kerajaan itu, dengan sekurang-kurangnya dua unit ditutup sementara manakala beberapa wad kini beroperasi di bawah kapasiti biasa kerana kekurangan kakitangan. 

Sementara itu, Kelantan hari ini dilaporkan mencatatkan enam kes baru positif Covid-19 kesemuannya daripada kluster terbaru itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya berkata, kluster Hilir melibatkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

Menurutnya, kes indeks (iaitu kes ke-58845) dilaporkan positif Covid-19 pada 24 November lalu hasil saringan individu bergejala.

Noor Hisham juga mengesahkan kluster ini membabitkan petugas kesihatan dan ahli keluarganya.

"Sehingga 29 November, sejumlah 975 individu telah disaring, yang mana 21 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya di Putrajaya, hari ini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS