Jumlah kes baru Covid-19 kekal pada empat angka dengan 1,472 lagi dilapotkan setakat jam 12 tengah hari ini berbanding 1,212 yang dicatakan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan itu menjadikan kes terkumpul positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 67,169 kes dengan kes aktif sebanyak 10,495.

Dia berkata daripada kes baru itu juga, Selangor terus mengatasi negeri-negeri lain dengan 891 kes. Ini diikuti oleh Sabah dengan 267 kes, Negeri Sembilan pula 146 dan Johor 68.

Negeri-negeri lain adalah seperti berikut:- Pulau Pinang (29), Kuala Lumpur (26), Kedah (21), Perak (13), dan Sarawak (1).

Kelantan, Labuan, Putrajaya, Melaka, Terenggganu dan Perlis masing-masing tidak mencatatakan sebarang kes.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa terdapat dua kluster baru telah dikenal pasti pada hari ini iaitu; kluster View Kolombong di Sabah dan kluster Talang-Talang, juga di Sabah.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 184 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu kluster Highway, kluster Inai, dan kluster Jalan Meru.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 kluster melaporkan pertambahan kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kluster Teratai yang dikaitkan dengan syarikat sarung tangan Top Glove sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes atau 52.9 peratus daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara.

“Ia menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor,” katanya.

Dr Noor hisham berkata, sejak diumumkan pada 7 November lalu, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi kluster Teratai dan daripada jumlah itu, sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif Covid-19. Ini melibatkan 331 atau 6.5 peratus warga negara dan 4,725 atau 93.5 peratus kes adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan. Kesemua kes-kes positif ini telah diasingkan.

“Oleh itu, KKM menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan (Ismail Sabri Yaacob) bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Disember hingga 14 Disember,” katanya.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan bahawa majikan berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan segala operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan kepada semua pekerja mereka.

Katanya, secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lalu, Malaysia menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil dengan sebahagian besar daripada kes kebelakangan ini berpunca dari tapak binaan dan kilang.

"Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan," katanya.

Sementara itu, daripada keseluruhan 1,472 kes terbaru hari ini, terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat sebanyak 1,552 kes pulih Covid-19. Dengan perkembangan itu, katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 56,311 atau 83.8 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 120 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 44 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19," katanya sambil menambah bahawa semua mangsa adalah dari Sabah.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 363 kes atau 0.54 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.