Kes individu berseragam polis pukul warga asing disiasat
Polis telah memulakan siasatan terhadap dakwaan serangan terhadap pekerja warga asing oleh seorang individu yang berpakaian seragam polis di sebuah pusat kuarantin Covid-19, kata Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim.
Ia susulan klip video berdurasi enam saat yang menunjukkan seorang individu berpakaian seragam polis menendang pekerja warga asing. Klip video itu tular di media sosial dua hari lalu.
Dalam satu kenyataan semalam, Mohd Said mengatakan siasatan awal menunjukkan bahawa kejadian itu berlaku di Taman Jasmin di Senawang.
"Kami percaya kejadian itu berlaku ketika sekumpulan pekerja asing dibawa ke pusat kuarantin Covid-19," katanya seperti dipetik The Star.
"Satu laporan polis telah dibuat dan kami sekarang mencari mangsa dan juga individu yang memakai seragam polis," katanya.
Dalam klip video itu, mangsa kelihatan duduk di sebelah rakannya sambil menunggu giliran untuk menaiki bas untuk dibawa ke pusat kuarantin.
Mohd Said berjanji bahawa polis akan menyiasat kes ini dengan teliti dan tindakan akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.
"Kami akan bertindak sewajarnya dan tidak akan ada kompromi," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang menyatakan bahawa adalah suatu kesalahan untuk menyebabkan kecederaan terhadap seseorang secara sukarela.

