Malaysiakini
BERITA

MB: 'Gabungan PAS, Umno, Bersatu lebih kuat umpama seberkas lidi'

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Dis 2020, 12:46 pagi

Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob berkata perjuangan politik melalui perpaduan Melayu tidak boleh mengenepikan Bersatu.

Ahmad yang juga menteri besar Kelantan dipetik Harakahdaily menegaskan pergerakan parti Melayu mestilah tidak terhad hanya antara PAS dan Umno, tetapi perlu melibatkan sama parti lain termasuk Bersatu.

"Bagi (pendapat) saya, lebih besar (gabungan) lebih baik. (Umpama) satu berkas lidi, kalau dah besar banyak guna, lebih kuat. 

"(Jadi) Bagi saya, lebih baik kita (parti-parti Melayu Umno, PAS, Bersatu dan lain-lain) bersama. Bukan sahaja dua parti (PAS dan Umno).

“Tapi (semua) parti-parti Melayu (wajib) bersama dalam satu usaha mengekalkan kuasa (pemerintahan Melayu-Islam),” katanya, semalam.

Menurut Ahmad, pertelagahan antara parti-parti Melayu merugikan rakyat dan "Umno dan Bersatu telah diberi peluang oleh Allah membetulkan keadaan" itu.

Ahmad mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin yang secara terbuka berkata matlamat parti itu untuk menguasai semula kerajaan - yang kini diketuai Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) - dengan kerjasama PAS.

Kata Khaled semalam, untuk mencapai matlamat menguasai kerajaan, kekuatan yang ada pada Umno dan PAS sudah memadai.

Sebagai rakan kerjasama setara dalam Muafakat Nasional katanya Umno dan PAS memiliki kekuatan yang berbeza.

"Sebenarnya, Umno dan PAS adalah kekuatan yang mencukupi. Yang selebihnya, akan menyebabkan the space is a little bit too crowded (ruang menjadi terlalu sesak)," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.