Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak bermasalah Umno guna logo sendiri dalam PRU15

Keputusan Umno untuk menggunakan logo BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dilihat tidak akan menjadi masalah kepada PAS meskipun kedua-dua parti menjadi rakan setara rasmi dalam Muafakat Nasional.

Naib presidennya, Mohd Amar Abdullah, berkata apa yang penting pada PAS ialah tidak berlaku pertembungan semasa mereka di mana-mana kerusi dan mereka tetap saling menyokong.

Pada masa sama timbalan menteri besar Kelantan itu mengakui PAS mengharapkan sesuatu yang lebih lagi, iaitu Umno menyertai mereka dalam Perikatan Nasional (PN).

Pun begitu kata Mohd Amar, PAS berpendapat terpulang kepada Umno untuk membuat keputusan.

"Dari segi struktur politik, Umno memang tidak menyertai PN. Bagi saya kenyataan (guna lambang BN) itu tiada ada masalah kerana yang penting adalah sokongan.

"Namun jika Umno bersama (dengan PN), ia lebih baik dan kemas. Namun kenyataan Umno yang mengatakan tidak akan berlaku pertembungan antara BN dan PN, ia sudah baik," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Adun Panchor itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang mengatakan parti itu akan menggunakan lambang BN pada PRU ke-15 susulan keputusan mereka tidak menyertai PN.

Kata Ismail Sabri, persetujuan sudah dicapai agar tiada pertembungan di antara BN dan PN dalam PRU akan datang.

Kerusi DUN belum bincang

Bagaimanapun Mohd Amar tidak menyatakan sama ada PAS - selaku anggota PN - akan bertanding menggunakan lambang gabungan itu atau menyertai Umno dengan menggunakan lambang mereka sendiri.

Untuk rekod menjelang pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu terbuka untuk bertanding menggunakan apa-apa lambang yang dipersetujui bersama.

“PAS tiada masalah guna simbol BN. PAS boleh guna simbol BN di Sabah.

"Kalau keputusan menggunakan simbol (parti) masing-masing, guna simbol masing-masing, kerana saya difahamkan ada parti di Sabah yang nak buat simbolnya sendiri.

"Terpulang... kita tak ada masalah," katanya. 

Bagaimanapun akhirnya tiada calon PAS diturunkan bertanding di Sabah.

Mohd Amar berkata, apa yang penting ketika ini ialah pengagihan kerusi diselesaikan dengan baik.

Katanya rundingan pengagihan kerusi di peringkat parlimen kini masih dalam pertimbangan di peringkat jawatankuasa pusat parti terbabit.

"Sekarang dari segi agihan kerusi belum selesai 100 peratus, yang penting sekarang ini ialah selesaikan pembahagian kerusi di peringkat parlimen supaya tidak bertembung.

"Kerusi di peringkat negeri juga diuruskan oleh pusat. Saya difahamkan, perbincangan kini baru di peringkat kerusi parlimen. Kerusi diperingkat negeri belum dibincangkan lagi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS